KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian mengingatkan rakyat Sarawak supaya berwaspada terhadap gelombang kedua wabak Covid-19, kerana virus itu masih ada.
Beliau berkata, kemungkinan penularan virus Covid-19 masih berada di sekeliling dan rakyat harus sentiasa berwaspada kerana minggu ini adalah minggu kritikal selepas tempoh inkubasi 14 hari barulah simptom penyakit berkenaan kelihatan dengan jelas.
Menurutnya, semalam (Jumaat) ada dua kes positif Covid-19 dilaporkan dan tidak ada orang di dunia yang memiliki pengalaman yang cukup dalam hal ini.
“Kita belajar apa yang harus dilakukan dan juga apa yang tidak boleh dilakukan daripada apa yang kita lihat gagal di negara lain. Yang paling penting adalah untuk mengelakkan gelombang kedua. Kita perlu bertindak balas dengan pantas. Virus ini sangat pantas. Kita tidak boleh selesa,” katanya.
“Dari pengalaman Melbourne, mereka melakukannya dengan baik. Dalam seminggu mereka harus dikurung, dan dalam beberapa hari berkurung, ICU mereka hampir penuh.
“Dalam 100 tahun kebelakangan ini, kita tidak pernah melihat perkara seperti ini. Warganegara, barisan depan, berjaya meratakan lekukan pada gelombang pertama dan saya sangat berterima kasih,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran sepanduk ”Terima Kasih” di Gereja St Thomas di sini semalam.
Justeru itu, beliau mahu rakyat sentiasa mengamalkan norma baharu dengan tahap kebersihan diri yang lebih optimum selain mematuhi setiap prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Tambah Dr Sim, petugas barisan hadapan yang meliputi wira yang tidak didendang seperti tukang cuci yang membuang sampah di hospital dan banyak yang bekerja di belakang tadbir.
“Tidak ramai yang mengetahui pengorbanan mereka yang banyak membantu di belakang tabir dan jasa mereka perlu dihargai,” ujarnya.
“Yang paling penting adalah norma baharu seperti penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka dan menjaga kebersihan tangan perlu terus dipatuhi.
“Semua orang merasai, pandemik berkenaan bukan sahaja menyebabkan para peniaga tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa tetapi ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan sentiasa komited dan bertindak pantas dalam menangani wabak Covid-19.
Oleh Cheryl Law