PRESIDEN Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo lega dengan keputusan kerajaan membenarkan pelaksanaan acara sukan secara bersentuhan bermula 15 Julai ini.
Menurut Dato Rahman, pihaknya nyata gembira dengan keputusan tersebut malah melihat ia satu perkembangan yang baik.
“Cukup lega apabila pihak kerajaan mengumumkan perkara itu dua hari lepas. Sekali gus, membolehkan persiapan pasukan tinju dilaksanakan dengan lebih komprehensih,” ujar beliau ketika ditemui semalam.
Beliau memberitahu, keputusan yang membolehkan latihan secara bersentuhan dilaksanakan itu juga berpeluang meningkatkan prestasi para petinju.
Katanya, jika sebelum ini para petinju sedia ada berlatih dengan skala yang terhad akan tetapi selepas ini mereka boleh ‘sparring’ sesama sendiri.
“Saya percaya selepas ini ada aksi sesama sendiri antara petinju terbabit kerana melalui pendekatan sedemikian akan dapat meningkatkan pretasi sama mereka,” tambah beliau lagi.
Skuad tinju Sukma Sarawak menyenaraikan sembilan petinju terbaik untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020.
Barisan petinju terbabit ialah Dealoniel Mcdelon Bong (60kg) yang juga penyumbang pingat emas Sukma Perak 2018.
Selain dua pemenang pingat gangsa temasya yang sama, Christyuden Ripoh (69kg) dan Wilson Berayin Sumbang (56kg).
Berbanding enam lagi petinju, Jackson Chambai Ikeh (49kg), Muhammad Syawal Mohammad Isham (52kg), Mohd. Jamani Abdullah (64kg), Abdul Hakim Abdullah (75kg), Rais Arsyad Sulam (81kg) dan Hellary Hendry (91kg).
Oleh Faizal Bujang