
Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu
MIRI: Polis menahan dua anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) selepas disyaki terbabit dalam satu kes bunuh susulan kematian seorang anggota, Prebet Muhammad Muqriz Aseri, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata kedua-dua prebet berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan di Kem Sri Miri pada 4.30 petang semalam.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 April ini.
“Kes itu sedang dalam siasatan oleh pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Alexson meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini.
Terdahulu, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia menerusi satu kenyataan berkata, mangsa, Prebet Muhammad Muqriz Aseri, berusia 21 tahun meninggal dunia selepas hentakan kuat di bahagian dada menyebabkan kerosakan pada jantung.
Jelas kenyataan itu, siasatan awal yang dilaksanakan oleh pasukan mendapati terdapat unsur ‘manhandling’ yang dipercayai penyebab kematian Allahyarham.
Justeru, TDM telah menyerahkan kes ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut dan turut menubuhkan Lembaga Siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca dan faktor yang menyumbang kepada insiden ini.
Oleh Liong Chai Ling