
ISU mengenai hak minyak dan gas antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) masih menjadi topik hangat dalam naratif hubungan Persekutuan dengan Wilayah Sarawak.
Isu ini berpotensi menjadi konflik yang berlarutan sekiranya masih menemui jalan buntu.
Pada masa sama akan dilihat sebagai suatu bentuk pertembungan kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam menentukan pihak yang lebih berautoriti atau berkuasa ke atas sumber asli negeri ini.
Isu ini juga menjadi medan ujian kepada keupayaan kepimpinan politik kedua-dua pihak untuk mencapai penyelesaian tanpa mengorbankan hak dan kepentingan rakyat.
Berdasarkan perkembangan terkini, kedua-dua entiti – Petronas dan Petros – dilaporkan bersetuju secara prinsip untuk mencari penyelesaian melalui pendekatan komersial dan bukan perundangan semata-mata.
Menang-menang
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), semangat kerjasama antara kedua-dua syarikat ini adalah kunci bagi menghasilkan keputusan yang bersifat ‘menang-menang’ untuk Sarawak dan Persekutuan.
Beliau turut mencadangkan agar Perdana Menteri, Premier Sarawak, Peguam Negara, CEO Petronas, dan CEO Petros duduk semeja bagi memuktamadkan perjanjian komersial yang dimeterai bersama.
Namun, di sebalik retorik kerjasama ini, hakikatnya rundingan antara Petronas dan Petros masih berdepan jalan buntu.
Salah satu isu utama yang menimbulkan kebuntuan ialah tuntutan Sarawak agar semua pengguna gas domestik, termasuk kilang LNG di negeri ini, perlu membeli gas dari Petros sebagai ‘aggregator’ tunggal.
Tindakan ini secara langsung meletakkan Petros sebagai ‘orang tengah’ antara Petronas dan pengguna akhir.
Aspek ini tentunya menggugat perjanjian komersial sedia ada yang telah ditandatangani antara Petronas dan pelanggan industridi Sarawak.
Perkukuh kedudukan undang-undang
Keengganan Sarawak untuk berkompromi dalam isu ini perlu dilihat dalam konteks sebagai usaha memperkukuhkan kedudukan undang-undang negeri berdasarkan Ordinan Pengedaran Gas 2016 (DGO), meskipun pada masa sama Sarawak telah mengiktiraf Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) yang menjadi kerangka utama kawal selia industri minyak dan gas Malaysia.
DGO 2016 dan PDA 1974 yang saling bertindih mewujudkan kekeliruan dan ketegangan dalam hubungan komersial antara kedua-dua syarikat.
Dalam hal ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah menyatakan secara terbuka bahawa Sarawak akan mengiktiraf PDA 1974 sebagai asas kepada pengurusan industri minyak dan gas negara.
Namun, Petros tetap berpegang kepada haknya di bawah DGO 2016 untuk mengawal selia pengedaran gas domestik di Sarawak.
Risiko
Tengku Muhammad Taufik, Presiden dan KetuaPegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, turut mengakui bahawa tempoh rundingan yang berpanjangan dan tidak menentu ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan pembeli.
Beliau menegaskan bahawa ketidaktentuan ini, jika berlarutan, boleh menjejaskan iklim pelaburan Sarawak, yang boleh memberi impak negatif kepada kedua-dua pihak dalam jangka masa panjang.
Isu ini menjadi lebih kompleks apabila Petros menuntut kawalan sepenuhnya ke atas pengagihan gas domestik, termasuk kepada kilang LNG yang sebelum ini terikat dengan kontrak sedia ada bersama Petronas.
Ini sekali gus mengancam kepentingan komersial Petronas dan membawa kepada kebuntuan yang sukar dirungkai tanpa kompromi politik yang signifikan.
Utamakan Sarawak
Dalam konteks ini, GPS yang memerintah Sarawak turut menerima cabaran dalaman.
Di satu sisi, kerajaan negeri ingin mempertahankan naratif ‘Utamakan Sarawak’ (Sarawak First) dengan mengukuhkan kawalan terhadap hasil minyak dan gas negeri, tetapi pada masa sama perlu mengelak konfrontasi berlebihan dengan Kerajaan Persekutuan yang boleh merencatkan pelaburan luar.
Justeru, cadangan penyelesaian secara komersial yang diutarakan menjadi satu pilihan pragmatik yang dilihat lebih realistik bagi meredakan ketegangan.
Namun begitu, persoalan besar yang timbul ialah, adakah penyelesaian komersial semata-mata mampu menangani persoalan asas tentang hak kedaulatan negeri Sarawak terhadap hasil bumi mereka?
Dalam beberapa kenyataan media, Sarawak dilihat konsisten dalam menuntut agar DGO 2016 dihormati dan diangkat sama tinggi dengan PDA 1974, sedangkan Putrajaya dan Petronas lebih selesa kekal dengan status quo yang memberikan kelebihan kepada Persekutuan.
Tambahan pula, hakikat bahawa Petros tetap berpegang teguh kepada pendiriannya membuktikan bahawa isu ini bukan sekadar soal komersial, tetapi juga berkaitan martabat dan autonomi Sarawak dalam konteks Malaysia moden.
Petros dan kerajaan Sarawak seolah-olah ingin menegaskan bahawa mereka tidak akan terus menerus menjadi ‘penerima’ dalam rundingan sumber negeri, sebaliknya mahu menjadi ‘penentu’ dalam menentukan masa depan sumber asli negeri ini.
Kestabilan
Sementara itu, bagi Kerajaan Persekutuan, kestabilan dan kepastian dalam perjanjian industri minyak dan gas merupakan faktor utama untuk memastikan kelangsungan pelaburan dan keyakinan pasaran.
Justeru, Putrajaya cenderung mengekalkan Petronas sebagai pemain utama tanpa perlu menyesuaikan operasi sepenuhnya mengikut undang-undang negeri.
Hakikatnya ialah Petronas ialah milik negara dan hak semua rakyat Malaysia.
Keadaan ini turut menggambarkan hakikat politik Malaysia yang sering menyaksikan konflik antara kerajaan Sarawak dan Persekutuan dalam isu berkaitan hak sumber asli, khususnya selepas berlakunya perubahan landskap politik pasca-PRU14 dan PRU15.
Sarawak yang kini mempunyai kedudukan yang lebih kuat sebagai ‘kingmaker’ dalam Kerajaan Persekutuan, dilihat menggunakan kelebihan ini untuk menuntut lebih banyak ruang autonomi ekonomi.
Benang merah diperlukan
Kesimpulannya, penyelesaian pertikaian Petronas-Petros memerlukan keseimbangan yang halus antara kepentingan ekonomi, maruah negeri dan keutuhan sistem persekutuan negara.
Usaha ke arah penyelesaian komersial dapat meredakan ketegangan buat sementara waktu, namun isu asas yang menyentuh soal pengiktirafan hak kedaulatan negeri dan kejelasan undang-undang perlu segera dirungkai bagi memastikan kedua-dua pihak – Sarawak dan Persekutuan – tidak terus terperangkap dalam dilema yang sama.
Tanpa penyelesaian yang inklusif dan ampuh, risiko kepada kestabilan ekonomi Sarawak dan keyakinan pelabur akan terus membelenggu, manakala kredibiliti politik GPS dalam menghadapi rakyat Sarawak menjelang PRN akan datang juga turut terancam.
Maka, kerjasama erat dan keberanian politik daripada kedua-dua pihak sangat dituntut agar dilemma dan polemik ini tidak mengorbankan kepentingan rakyat dan negeri serta negara dalam jangka masa panjang.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalahpenganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di JabatanSosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasid dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).