KOTA KINABALU: Pusat Ekonomi dan Inovasi Kreatif Sabah berada di landasan untuk membangunkan masyarakat yang kreatif, berinovatif dan berdaya tahan menerusi beberapa pencapaiannya walaupun hanya baru empat bulan beroperasi.
Meskipun dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih berlaku sekarang, pusat itu terus melaksanakan fungsinya dan mempamerkan komitmen tinggi bagi membantu penginovasi tempatan serta industri dan menggalakkan mereka terus berinovasi.
Pengurus Besarnya, Viviantie Sarjuni berkata, antara pencapaian yang dicapai adalah memperkenalkan idea pelancongan berasaskan Augmented Reality (AR) atau Virtual Reality (VR), menggalakkan inovasi dalam kalangan penduduk tempatan dan menjalin kerjasama dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).
“Idea pelancongan berasaskan AR atau VR itu terpilih dalam senarai 10 terbaik Startup Weekend secara dalam talian yang dianjurkan oleh Techstar, iaitu ‘seed accelerator’ Amerika yang diasaskan pada 2006 di Boulder, Colorado.
“Idea itu muncul daripada salah seorang peserta Zikri Zainudin, orang Sabah. Idea itu adalah untuk membuat perubahan kepada persepsi seseorang terhadap persekitaran fizikal mereka, apabila melihat melalui peranti tertentu.
“Dengan cara ini kami boleh memperlihatkan pengalaman perjalanan pelancong tanpa perlu pergi ke tempat tertentu. Ia sangat relevan terutamanya semasa pandemik ini,” katanya dalam kenyataan akhbar yang diedarkan kepada pemberita, di sini, semalam.
Viviantie berkata pencapaian itu sejajar dengan objektif pusat tersebut untuk melahirkan tenaga kerja cekap bertaraf dunia dengan mengumpulkan bersama-sama pekerja, idea dan sumber bagi menggalakkan usahawan membangunkan perniagaan yang berjaya, inovatif dan mampan dalam seluruh industri.
Menurutnya pusat tersebut menyasar untuk bekerjasama dengan masyarakat akar umbi, syarikat pemula niaga, firma teroka, universiti dan institusi penyelidikan, dengan memberi bantuan kepada mereka dari aspek perundangan serta mencari pelabur bagi memasarkan produk mereka ke seluruh dunia.
“Pusat itu berhasrat menggalakkan penggunaan instrumen digital seperti AR atau VR, Robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), animasi dan pembuatan filem bagi menyokong inovasi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Terdahulu hari ini, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melawat Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) untuk meninjau beberapa pembangunan termasuk pusat inovasi tersebut yang merupakan inisiatif di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri Sabah secara kerjasama dengan KKIP.
Bercakap kepada pemberita selepas lawatan itu, Mohd Shafie berkata belia Sabah menunjukkan minat terhadap inovasi dan celik teknologi tetapi menyatakan Sabah masih belum memanfaatkan sepenuhnya industri tersebut.
“Jika kita bangunkan tempat bagi mereka untuk mereka menggunakan pengetahuan mereka seperti menghasilkan filem dan filem pendek, saya pasti kita boleh melahirkan rakyat Sabah yang sangat kreatif dan inovatif,” katanya. – Bernama