
JOHOR BAHRU: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus memberi fokus kepada dua saingan liga bawah umur, iaitu Piala Belia dan Piala Presiden, selepas pengumuman pemansuhan saingan Bawah 23 Tahun Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) musim 2025-2026.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menyifatkan situasi itu memberi peluang kepada FAM untuk memperkukuh penganjuran Piala Belia bagi peringkat umur Bawah 18 Tahun dan Piala Presiden (Bawah 20 Tahun) bagi memastikan pembangunan bakat muda terus diperkasa.
Bagaimanapun, beliau berkata FAM akur keputusan MFL dan sedang bekerjasama dengan Liga Bolasepak Amatur (AFL) dalam menentukan nasib serta kelangsungan karier para pemain yang terjejas.
“Kita pun bersedia, kita nampak Piala Presiden dan Belia untuk pembangunan, memang kita akan fokus pada Piala Belia dan Presiden. Saya bincang dengan Datuk Yusof (Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi) Piala MFL akan pergi kepada A1 Semi-pro. Perkara itu akan dibincangkan lanjut.
“Bagi FAM kita tak bimbang (pemansuhan Piala MFL jejaskan pembangunan pemain) sebab kita ada perancangan dan benda ini harus dibincangkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara FAM dan Carsome di sini hari ini.
Semalam, MFL dalam kenyataan mengesahkan Rakan Kongsi Liga terdiri daripada 13 Kelab Liga Super sebulat suara bersetuju untuk memansuhkan kejohanan Piala MFL musim 2025-2026.
MFL memaklumkan keputusan untuk memansuhkan Piala MFL perlu diambil dalam usaha mengukuhkan dan menstabilkan semula kedudukan kewangan kelab. – Bernama