
SEBUYAU: Penduduk di beberapa bahagian di Sarawak bakal menikmati bekalan elektrik lebih stabil dan meluas apabila kerajaan negeri meluluskan peruntukan besar sebanyak RM575 juta bagi menaik taraf infrastruktur tenaga di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata peruntukan ini akan mempercepatkan usaha menjadikan liputan elektrik lebih menyeluruh, khususnya di kawasan luar bandar.
“Sebanyak RM150 juta diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur elektrik di Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong – kawasan dalam Bahagian Samarahan,” katanya ketika berucap semasa majlis Outreach Ramadan dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Masjid Darul Hidayah, Kampung Seruyuk, semalam.

Selain itu, kerajaan negeri turut meluluskan RM425 juta bagi menambah baik bekalan elektrik di Lundu, Betong, Lubok Antu, Sungai Asap dan Lawas.
Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata projek ini akan dimulakan tahun ini, dikendalikan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Sesco, anak syarikatnya.
”Inisiatif ini bukan sahaja membawa harapan kepada masyarakat luar bandar, tetapi juga membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat Sarawak,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Julaihi turut menyampaikan bantuan makanan kepada 100 individu kurang berkemampuan dari Kampung Seruyuk, Segali dan Sungai Ladong manakala seramai 50 pelajar menerima sumbangan kewangan dalam usaha menyokong pendidikan mereka.

Sebagai tanda kebersamaan dengan masyarakat, beliau turut berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih bersama penduduk.