
Pemandangan Glasier Perito Moreno di Taman Negara Los Glaciares, berhampiran El Calafate, wilayah Santa Cruz, Argentina, diambil pada 13 Ogos 2024. Foto AFP
GENEVA: Kesemua 19 kawasan glasier di dunia mengalami kehilangan jisim bersih pada 2024 untuk tahun ketiga berturut-turut, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.
Dalam tempoh enam tahun terakhir, lima daripadanya mencatatkan kadar pencairan paling pantas dalam sejarah, menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), agensi PBB yang mengawasi cuaca, iklim dan sumber air.
“Pemeliharaan glasier bukan sekadar keperluan alam sekitar, ekonomi dan sosial; ia adalah soal kelangsungan hidup,” kata ketua WMO, Celeste Saulo.
Di luar lapisan ais benua di Greenland dan Antartika, terdapat lebih 275,000 glasier di seluruh dunia yang meliputi kira-kira 700,000 kilometer persegi, menurut WMO.
“Tahun hidrologi 2024 menandakan tahun ketiga berturut-turut dengan kesemua 19 kawasan glasier mengalami kehilangan jisim bersih,” tambah WMO.
Secara keseluruhannya, glasier dunia kehilangan 450 bilion tan jisim tahun lalu, menurut data baharu dari Perkhidmatan Pemantauan Glasier Dunia (WGMS) yang berpangkalan di Switzerland.
Ini adalah tahun keempat paling teruk dalam sejarah dengan 2023 mencatatkan rekod paling buruk.
“Dari 2022 hingga 2024, kita menyaksikan kehilangan glasier terbesar dalam tempoh tiga tahun yang pernah direkodkan,” kata Saulo.
Kehilangan jisim glasier pada tahun lalu lebih sederhana di kawasan seperti Artik Kanada dan glasier pinggiran Greenland.
Namun, glasier di Scandinavia, kepulauan Svalbard di Norway dan Asia Utara mengalami tahun paling buruk yang pernah direkodkan.
Berdasarkan pemerhatian di seluruh dunia, WGMS menganggarkan bahawa glasier (tidak termasuk lapisan ais di Greenland dan Antartika) kehilangan lebih 9,000 bilion tan ais sejak rekod mula direkodkan pada 1975.
“Ini bersamaan dengan blok ais gergasi sebesar Jerman dengan ketebalan 25 meter,” kata pengarah WGMS, Michael Zemp. – AFP