KOTA KINABALU: Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP di sini akan menjadi platform untuk menarik lebih ramai golongan belia Sabah menceburi bidang industri teknikal serta penyelenggaraan pesawat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pusat itu turut memberi manfaat kepada industri terbabit dari segi penawaran tenaga kerja mahir serta mencukupi bagi penyelenggaraan pesawat di masa depan.
“Apabila industri pelancongan digerakkan semula, saya yakin penggunaan pesawat turut meningkat selain menghidupkan kembali (segmen) pesawat persendirian. Ini akan turut meningkatkan aspek penyelenggaraan juga.
“Kita perlu melatih anak muda menerusi Pusat Latihan Aeroangkasa KKPI dan memberi pengetahuan yang tepat dalam usaha memastikan dapat mempunyai sebuah pusat penyelenggaraan (pesawat) sewajarnya di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat tersebut semalam.
Beliau diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Sabah serta Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KKIP Sdn Bhd Datuk Melvin Disimond serta Pengerusi KKIP Aerospace Sdn Bhd Dr Oh Ei Sun.
Pusat tersebut yang dijangka menjadi antara peneraju kemudahan aeroangkasa di Asia Tenggara di bawah Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia, dilengkapi dengan hangar, bilik kuliah dan bengkel serta 120 bilik asrama dengan pendingin hawa serta kemudahan lain.
Ia juga mempunyai pesawat jenis Autogyro Cavalon 915 dan Hawker Siddeley HS-125-400A.
Sementara itu, ketika berucap, Tangau mengucapkan tahniah terhadap KKIP Aerospace Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh KKIP Sdn Bhd dan rakan usaha sama LembaranAsia Sdn Bhd berikutan kejayaan membangunkan pusat latihan tersebut.
“Saya dimaklumkan bahawa ini akan menjadi pusat latihan penyelenggaraan pesawat pertama yang diluluskan di Malaysia dan mempunyai pensijilan berganda daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) bagi menjalankan latihan juruteknik penyelenggaraan pesawat.
“Lulusan pusat ini akan dilengkapi dengan kemahiran menyeluruh yang dibahagikan kepada 12 modul yang merangkumi bidang avionik, enjin, kerja komposit secara teori dan latihan industri di bangunan hangar di sini serta pusat MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan pengendalian) terpilih,” katanya.
Tangau berkata lulusan Juruteknik Penyelenggaraan Pesawat Kategori A1 juga menerima dua lesen untuk bekerja di industri aeroangkasa serta berpeluang berkhidmat di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, Mohd Shafie menyaksikan pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) antara MASWings Sdn Bhd dan Mega Aerospace Center Sdn Bhd; Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd dan KKIP Aerospace Sdn Bhd; CAAC Malaysia Sdn Bhd dan Mega Aerospace Center Sdn Bhd serta Bataras dan Jabatan Pembangunan & Penyelidikan Perindustrian.
MoU itu membabitkan kerjasama mewujudkan hab latihan aeroangkasa, latihan pekerjaan dan program pengembangan syarikat utama-vendor. – Bernama