
SARATOK: Pertukaran Pegawai Kanan Polis sepertimana diwartakan pada bilangan 5/2025 bertarikh 22 Februari lepas merupakan satu proses yang amat penting bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak bagi mewujudkan perubahan dalam landskap corak kepimpinan dan pentadbiran di peringkat daerah.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, pertukaran seumpamanya juga dapat memperkukuhkan semangat ‘Esprit De Corps’ dalam kalangan warga kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing.
“Ia adalah bagi memastikan PDRM Sarawak terus berdiri gagah, dihormati, berintergriti, relevan dan disanjung tinggi oleh segenap lapisan masyarakat.
“Seperti yang sering kita tekankan, tugas kita bukan sahaja untuk memastikan undang-undang dipatuhi, tetapi juga untuk menjaga hubungan yang harmoni dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Serah Terima Tugas Jawatan KPD Saratok dan KPD Kanowit serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD SARATOK dan IPD Kanowit di Dewan Rumah Krian IPD Saratok, hari ini.

Teks ucapan Mancha telah dibacakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak.
Tambahnya, setiap KPD juga seharusnya sentiasa berusaha dengan sebaik mungkin untuk membawa perubahan di daerah masing-masing.
“Sangat ditekankan di sesuatu jawatan sentiasalah berusaha sebaik mungkin untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik.
“Jangan segera merasa selesa dengan apa yang ada jangan berhenti berusaha memikirkan untuk sentiasa menambah baik apa yang ada jangan cepat berpuas hati dengan apa yang kita capai dan sentiasalah berusaha membaiki apa-apa keadaan.
“Sebagai ketua adalah penting untuk memastikan bahawa setiap hari ada penambah baikan yang berlaku dalam kita melaksanakan tanggung jawab walaupun sekecil zarah penambah baikan itu pun sudah cukup baik,” katanya.
Dalam majlis tersebut, menyaksikan Deputi Superintendan (DSP) Mathew Manggie dilantik sebagai KPD Saratok yang baharu bagi menggantikan DSP Mordani Tanin yang berpindah ke IPD Lundu.
Mathew, 47, merupakan anak jati Sibu sebelum ini pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sarawak sebelum kali pertama dilantik sebagai KPD Sri Aman pada Julai 2023.
Turut berlangsung, majlis serah terima tugas jawatan KPD Kanowit daripada Superitendan Dennis Bunyam kepada DSP Junical Ujal.
Majlis serah terima tugas jawatan Pengerusi PERKEP Daerah Saratok daripada Dayang Sauzanah Saudi kepada Corina Nobes dan Pengerusi PERKEP Daerah Kanowit daripada Olivia Nayun Kunsu kepada Bibi Datuk Tutong turut dilangsungkan dengan disaksikan Naib Pengerusi PERKEP Sarawak, Faisha Ishak.
Oleh Adi Saparman