
KAPIT: Seramai enam individu berjaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jalan Bleteh selepas rumah mereka di Lorong 7, Jalan Airport, dinaiki air akibat banjir pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.50 pagi sebelum menggerakkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit ke lokasi kejadian.


SITUASI Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jalan Bleteh. Foto PGO
“Sebaik tiba di lokasi tiga minit kemudian, anggota mendapati sebuah rumah telah dinaiki air hingga paras pinggang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setelah penilaian awal dijalankan, enam mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dewasa, seorang wanita dewasa serta dua remaja dipindahkan ke PPS Jalan Bleteh bagi memastikan keselamatan mereka.
Oleh Tarani Lanting