
KANOWIT: Seramai 16 penghuni Rumah Daniel, Nanga Peranan, Poi, terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kanowit selepas rumah panjang mereka dinaiki air setinggi empat kaki susulan hujan berterusan.
Ketua Zon Sibu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Andy Alie, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.04 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit digerakkan ke lokasi, sekitar 20 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pasukan kami mendapati kawasan pesisir Sungai Poi, Ngemah Kanowit, dilanda banjir dengan paras air yang semakin meningkat.
“Atas faktor keselamatan, penghuni rumah panjang perlu segera dipindahkan ke lokasi lebih selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua mangsa termasuk dua warga emas lelaki, tiga warga emas wanita, dua lelaki dewasa, enam wanita dewasa, serta tiga kanak-kanak dan bayi, terpaksa berjalan kaki ke simpang Jalan Kapit-Song sebelum dihantar ke PPS Kanowit oleh pasukan bomba dengan bantuan pihak polis.
Tambahnya, operasi pemindahan berjalan lancar dan pasukan bomba memastikan keadaan terkawal serta selamat selepas semua mangsa dipindahkan.
Oleh Tarani Lanting