

KUCHING: Koperasi Bomba dan Penyelamat Malaysia Berhad (KOBOPEM) melakar sejarah sebagai pengendali pertama dalam kalangan koperasi bomba untuk mengendalikan stesen minyak, selepas dilantik secara rasmi oleh SEDC Energy bagi menguruskan Stesen Petros Multifuel di Batu Kawa.
Ketua Pegawai Eksekutif SEDC Energy, Robert Hardin (gambar) berkata, pelantikan ini dibuat di bawah konsep Company Owned, Dealer Operated (CODO), yang mana SEDC Energy masih memiliki stesen tersebut tetapi operasinya dikendalikan oleh KOBOPEM.
“Setiap stesen yang kami bangunkan melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak. Bagi stesen di Batu Kawa, KOBOPEM akan menguruskan operasinya dan kami berharap ia dapat mula beroperasi pada suku kedua tahun ini setelah proses perlesenan selesai,” katanya ketika ditemu media selepas majlis pelantikan KOBOPEM sebagai operator stesen itu, hari ini.
Menurutnya, stesen ini akan menerima bekalan hidrogen dari Darul Hana menggunakan sistem tube trailer, sejajar dengan usaha Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur tenaga hijau.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dato Nor Hisham Mohammad memberitahu, pelantikan KOBOPEM sebagai pengendali stesen minyak adalah satu pencapaian besar bagi koperasi tersebut.
“Sebelum ini, KOBOPEM lebih tertumpu kepada pembiayaan dan aset, tetapi ini adalah kali pertama kita terlibat dalam pengoperasian stesen minyak.
“Ini bukan hanya satu cabaran baharu, tetapi juga satu peluang besar untuk koperasi berkembang dalam sektor tenaga,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa penyertaan KOBOPEM dalam industri tenaga bukan sahaja bertujuan meningkatkan kebajikan anggota bomba, tetapi juga sebagai penghargaan kepada mereka yang berada di barisan hadapan.
Stesen Batu Kawa dijangka menjadi sebahagian daripada rangkaian infrastruktur tenaga baharu di Sarawak, yang menggabungkan bahan api konvensional dan tenaga bersih sebagai persediaan ke arah peralihan tenaga masa depan.
OLEH AMANDA L.