

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan garis panduan baharu berkaitan keselamatan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), khususnya bagi pemasangan di kawasan tertutup seperti tempat letak kereta bawah tanah.
Ketua Pengarah JBPM, Dato Nor Hisham Mohammad berkata, garis panduan ini disediakan dengan mengambil kira amalan terbaik di peringkat global serta piawaian antarabangsa yang telah diadaptasi untuk Malaysia.
“Kebakaran EV mempunyai cabaran tersendiri kerana ia boleh berlaku semula dalam tempoh 72 jam selepas dipadamkan. Oleh itu, kaedah terbaik yang dikenal pasti ialah mengawal kebakaran dengan segera dan mengeluarkan kenderaan ke kawasan terbuka,” katanya ketika ditemu media selepas majlis Pelantikan KOBOPEM Sebagai Pengendali Stesen Petros Multifuel Batu Kawa, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa walaupun kes kebakaran EV masih rendah berbanding enjin pembakaran dalaman, risiko tetap wujud dan perlu ditangani dengan langkah keselamatan yang lebih ketat.
Menurutnya, JBPM juga sedang bersedia untuk menghadapi cabaran berkaitan pelupusan bateri EV, yang perlu diganti selepas 10 hingga 15 tahun penggunaan.
“Semasa penggantian bateri, kami akan memastikan pengguna tidak menggunakan bateri substandard yang boleh meningkatkan risiko kebakaran.
“Ketika ini, pengeluar masih boleh mengawal kualiti bateri baharu, tetapi selepas tempoh tertentu, ada risiko pengguna mencari alternatif murah di pasaran. Kita perlu bersedia untuk menangani isu ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia setakat ini tidak mencatatkan sebarang kes kebakaran di stesen minyak akibat pengecasan EV.
“Setakat ini, hanya satu kes direkodkan di Johor, melibatkan kebakaran ketika pengecasan di pusat servis. Hasil siasatan mendapati kebakaran berpunca daripada kerosakan pada kapsul bateri, bukan bekalan elektrik,” jelasnya.
Garis panduan baharu JBPM ini dijangka membantu meningkatkan keselamatan operasi pengecasan EV di Malaysia, terutama dengan pertumbuhan pesat penggunaan kenderaan elektrik di negara ini.
OLEH AMANDA L.