

Oleh: Dayang Azizah binti Mohd Salleh
SAJAK dicipta dengan inti cerita yang hendak dikongsi kepada pembaca. Inti cerita ini lazimnya menyentuh persoalan dan tema sebagai landasan pemikiran. Sebagai karya kreatif, sajak memerlukan sentuhan nilai. Nilai ini memberi makna kepada pembaca sama ada dalam bentuk teguran, pemberitahuan, saranan atau perkongsian ilmu pengetahuan. Dari sisi lain, penulis menulis sajak kerana ingin meluah atau berkongsi sesuatu yang mengasak benak fikir atau yang terbuku dalam jiwa.
Dalam penulisan sajak, selain pemilihan kata, keupayaan memanipulasi gaya bahasa yang terampil dan estetika dapat menjadikan binaan sajak menjadi lebih jitu dengan siratan makna. Misalnya, penggunaan bahasa metafora, personifikasi dan perlambangan atau simbol. Sajak yang baik dapat memberi makna yang pelbagai termasuklah makna yang tersirat, membijaksanakan pemikiran serta meningkatkan kesedaran dan kepekaan kemanusiaan pembaca. Itulah sebabnya, Samuel Taylor Coleridge sering menegaskan bahawa sajak ialah pemilihan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik.
Dari aspek yang lain, sajak yang baik dibangunkan oleh kata, baris, bait terpilih yang mewujudkan kesepaduan isi, bentuk, mesej dan struktur. Maknanya, kualiti sajak ialah kombinasi isi yang mengandungi pemikiran, gaya bahasa yang sesuai dengan tema dan perasaan serta pesanan penulis. Penggunaan bahasa yang puitis dan terkawal memungkinkan inti cerita yang disampaikan lebih mudah difahami dan dihayati pembaca manakala solekan bahasa akan membantu menjadikan sajak itu bersifat komunikatif dan mempunyai isi yang bermakna.
Kehadiran bahasa figuratif seperti metafora, personifikasi dan simbol dapat memberi imej atau gambaran serta kesan visual kepada pembaca. Metafora merujuk penggunaan diksi yang menyatakan sesuatu maksud yang lain daripada makna lazim atau makna sebenar. Maknanya, metafora menimbulkan lapisan makna yang memungkinkan pembaca berfikir tentang isu yang dikemukakan oleh penulis. Metafora yang janggal akan menimbulkan rasa kurang ‘sedap’ pada sajak.
Personifikasi pula ialah gaya bahasa yang memberikan sifat atau tindakan, manusia kepada objek mati, haiwan atau konsep abstrak. Teknik ini mencipta gambaran yang lebih hidup dan indah, imaginatif serta lebih menggugah perasaan pembaca. Manakala perlambangan atau simbol boleh sahaja terdiri daripada kata, frasa dan objek yang digunakan untuk mewakili makna yang lebih mendalam daripada erti harfiah. Simbol dalam sajak membantu mencipta makna tersirat dan memberi dimensi emosional atau falsafah.
Mencipta metafora, personafikasi dan perlambangan dalam sajak tidak mudah, perlu banyak membaca, menuntut ketelitian dan pemikiran analitikal. Bagi meningkatkan kesan metafora, personafikasi atau perlambangan yang digunakan dalam sajak, penulis perlu menjiwai isu dan berupaya memanfaatkan perbendaharan kata yang luas merentas pelbagai disiplin ilmu. Ada kala perlu bertengkar dengan kata-kata untuk menyaring diksi yang terpilih.
Sebagai karya kreatif yang sepatutnya dapat membijaksanakan dan meningkatkan tahap kemanusiaan pembaca, keupayaan meneroka sempadan bahasa dapat memperkaya makna tanpa harus menyatakannya secara langsung sehingga pembaca dapat menafsirkannya berdasarkan pengalaman dan perasaan mereka sendiri atau dalam kata lain mempunyai makna tersirat. Sajak seperti ini menjadi lebih berkesan kepada pembaca kerana dapat mendorong mereka berfikir lebih mendalam. Makna tersirat memungkinkan setiap pembaca memahami sajak berdasarkan pengalaman dan perspektif sendiri, menimbulkan kesan emosi yang lebih kuat, menyerlahkan daya kreativiti penulis, mencipta keindahan penyampaian yang bukan semata-mata pesan langsung.
Penggunaan metafora, personifikasi dan perlambangan dalam sajak memerlukan unsur alam sebagai jalinan pengungkapan. Unsur alam sama ada bersifat objektif atau subjektif memberi makna atau tafsiran yang berbeza dalam kalangan pembaca yang banyak bergantung kepada pengalaman dan penerimaan pembaca. Unsur alam merupakan sumber paling kaya untuk mencipta metafora, personafikasi atau perlambangan. Justeru dalam menukangi sajak, kemahiran memilih unsur alam ini perlu diberi perhatian melalui usaha menggali ilmu dan mempertajam pemerhatian dan penghayatan terhadap keindahan alam agar dapat dimanfaatkan sebagai elemen penting dalam menghadirkan makna tersirat.
Bagi mengukuhkan pemahaman terhadap makna tersirat dalam sajak, kali ini kita akan meneliti tiga sajak yang telah disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lalu. Sekalung tahniah kepada semua penulis kerana berjaya menulis sajak yang bermakna kepada pembaca.
Sajak pertama berjudul “Mafhum Keinsafan” karya Nur Qaireena Qaaleesya binti Mohd Fadzly. Sajak ini mengupas tentang keinsafan manusia terhadap kesilapan lalu dan kepentingan hidayah dalam mengubah diri. Tema keagamaan ini merupakan suatu yang besar dan mempunyai nilai makna yang tersendiri kepada pembaca.
Sajak ini dipersembahkan dengan pembukaan penceritaan yang agak baik dan mesej yang jelas dalam rangka usaha penulis membawa pembaca untuk muhasabah diri supaya menemui jalan keinsafan dengan gaya penyampaian bersifat tidak terlalu langsung.
Bagi membina makna yang tersirat, pemilihan unsur alam dapat dikesani seawal rangkap pertama, iaitu ‘rebas hujan’ dan ‘badai’ yang melambangkan ujian atau musibah yang menimpa alam dan manusia. Penggunaannya mendorong pembaca untuk membayangkan suasana alam dan merangsang daya fikir pembaca untuk mengenal pasti mesej yang ingin disampaikan lewat imej ‘hujan’ dan ‘badai’.
Percubaan penulis menggunakan personifikasi pada diksi ‘menampar’, ‘setia berdiri’ dan ‘menangis’ serta ‘menghitung lalai’ pada rangkap pertama dan kedua wajar diberi kredit sebagai usaha mempelbagaikan unsur bahasa agar dapat mewujudkan makna tersirat. Unsur personifikasi ini menjadikan alam seakan-akan makhluk hidup yang merasai penderitaan akibat perbuatan manusia.
Namun demikian, kekaburan terhadap unsur alam sebagai jalinan pengungkapan menyebabkan kesan sajak ini kepada pembaca kurang menyerlah. Misalnya, ‘imbauan bengis fenomena’ sebagai gambaran kejadian alam yang memberi keinsafan agak kabur maknanya. Fenomena alam yang manakah yang dirujuk oleh penulis?
Selain itu, unsur alam dalam sajak ini belum dapat diangkat sebagai elemen yang membina sajak secara keseluruhannya bahkan agak terhad dan hanya sebagai sisipan serta perlu diperkemas. Unsur alam dikesani dengan jelas pada rangkap pertama sahaja dan tidak dimasukkan dalam rangkap seterusnya secara tekal. Hal ini menyebabkan alur cerita sajak menjadi kurang lancar.
Rebas hujan menerjah
dan ganas badai
menampar wajah alam
yang setia berdiri
tak mengendah
tubuh kian renta.
adakala menangis
menghitung lalai
perilaku manusia
merosak semesta.
imbauan bengis fenomena
buatku terlantar
merubah diri lebih baik.
tanpa hidayah
mungkin aku,
tidak akan berubah.
Bagi meningkatkan kesinambungan antara rangkap agar lebih lancar, cadangan tentang pemerian peralihan daripada kesedaran terhadap alam kepada keinsafan diri boleh dibuat secara lebih berstruktur. Boleh dijelaskan bagaimana fenomena alam itu menjadi pencetus kepada perubahan diri. Misalnya, boleh diperkukuh dengan ‘alam terluka, aku turut tersedar’, ‘dosa-dosa manusia terpantul dalam ribut yang menggila’.
Seterusnya, peralihan daripada persoalan dosa manusia kepada hidayah menimbulkan pertanyaan – bagaimana hidayah datang kepada penulis? Adakah melalui peristiwa tertentu atau hanya melalui renungan terhadap alam? Peralihan antara penyesalan dengan perubahan boleh diperincikan sedikit agar pembaca memahami proses keinsafan itu dengan lebih jelas.
Selain itu, meskipun sudah ada elemen alam, perincian boleh diperkaya untuk memberi gambaran yang lebih kuat. Contohnya, bagaimana ‘badai’ itu benar-benar memberi impak kepada diri penulis? Bagi memperkukuh perkembangan emosi pembaca, sajak ini boleh dilanjutkan dengan penambahan rangkap atau baris yang lebih menggugah pemikiran dan perasaan. Perhatikan juga rangkap keempat yang agak hambar kerana gaya bahasa yang biasa dan bersahaja menyebabkan penyataannya menjadi agak langsung berbanding rangkap-rangkap sebelumnya.
Sajak kedua, iaitu “Secawan Dosa” nukilan Shafida Rosllan lebih jelas makna tersiratnya. Penulis memilih kata yang mudah difahami tetapi membawa makna yang mendalam dengan laras bahasa yang bersifat introspektif dan reflektif.
Tajuk sajak menimbulkan tanda tanya tentang diksi ‘secawan dosa’. Penulis memilih ‘secawan dosa’ sebagai simbol kepada permulaan dosa yang kecil tetapi berlanjutan. Gandingan metafora ‘secawan dosa’ dan ‘kopi pahit’ mengasak minda pembaca untuk meneroka sifat dosa yang pada awalnya kelihatan kecil boleh berubah menjadi dosa besar jika dilakukan secara berulang-ulang. Secara tersirat, sajak ini menyampaikan amaran bahawa dosa memberi kesan buruk kepada manusia.
Secawan dosa
bermula dicicip serasanya kopi pahit
namun saat lidah sudah terlatih
dan menjadi lazim
pahit beransur hilang
berganti manis
melekat di lelangit
diteguk nikmat…
Sedar tak sedar
secawan dosa berganti cawan
dan pelbagai dosa
bermula dari cawan pertama..
Katanya, secawan dosalah punca semua
lalu bagaimana?
Benarkah dosa cuma secawan
dan ingin kau muntahkan semula?
Penulis terus bermain dengan simbol atau perlambangan ‘kopi pahit’ yang melambangkan sesuatu yang pada awalnya kurang menyenangkan tetapi akhirnya menjadi kebiasaan. ‘Melekat di lelangit’ memperkukuh makna tersirat yang dihadirkan dalam sajak ini untuk menggambarkan dosa menjadi sebati dalam hidup seseorang.
Personifikasi ‘lidah sudah terlatih’ memberi gambaran tentang dosa yang akhirnya menjadi suatu kelaziman. Penulis terus mengasak imaginasi pembaca dengan simbol atau perlambangan ‘berganti cawan’ yang secara tersirat memberitahu pembaca bahawa dosa itu dilakukan secara berterusan.
Keupayaan penulis memanfaatkan simbol dalam menukangi sajak ini membantu penyampaian mesej yang jelas kepada pembaca agar sedar bahawa dosa kecil yang dibiarkan akan membawa kehancuran jiwa disebabkan hati semakin gelap dan lalai. Pemilihan kata yang tepat dalam sajak ini dapat menyuntik dos kebijaksanaan kepada pembaca melalui kesedaran tentang bagaimana dosa bermula dan berkembang. Dalam erti kata lain, secara tersirat sajak ini mendorong pembaca membuat refleksi tentang sesuatu hal buruk yang dianggap remeh boleh menjadi kebiasaan tanpa disedari dan akhirnya membinasakan. Sajak ini membantu pembaca berfikir secara kritis tentang perbuatan mereka sendiri, terutama dalam perkara yang sering dianggap ringan tetapi memudaratkan. Makna yang tersirat ini menyajikan kesan emosi kepada pembaca, iaitu ‘apakah aku juga telah terbiasa dengan dosa?’
Sajak ini mengingatkan kita kepada ungkapan Andreis Teeuw, seorang ahli bahasa dan sastera Belanda yang terkenal kerana kajiannya terhadap sajak moden Indonesia. Beliau menyebut, “sajak menjadikan hal yang sederhana menjadi aneh, yang mudah difahami dirumuskan secara berliku-liku sehingga mengejutkan bahkan bisa mengelirukan. Justeru keanehan itu menjadikan sajak mengesankan, sukar dilupakan, terpateri dalam ingatan.”
Dari aspek penambahbaikan, cadangan-cadangan ini boleh diberi perhatian. Pertama; kejelasan mesej di bahagian akhir. Bahagian akhir menimbulkan persoalan ‘benarkah dosa cuma secawan/dan ingin kau muntahkan semula?’ yang bersifat terbuka. Ungkapan ini boleh ditambah sedikit penegasan agar pembaca lebih memahami arah tuju sajak ini.
Kedua; pemanjangan analogi. Simbol ‘secawan dosa’ sangat menarik, tetapi boleh diperluas lagi dengan lebih banyak gambaran tentang bagaimana dosa itu semakin bertambah dan akhirnya membentuk satu kebiasaan yang sukar dibuang.
Ketiga; metafora dosa dan kopi .Analogi kopi pahit sebagai dosa sangat menarik, tetapi peralihan dari ‘pahit’ kepada ‘manis’ boleh dijelaskan lebih lanjut. Sekadar saranan, boleh dimasukkan gambaran tentang seseorang mula terbiasa dengan dosa, contohnya: ‘nikmat pertama meneguk pahit/pada tegukan kedua, lidah mulai akrab/hingga hitam terasa manis di bibir.’
Keempat; pengakhiran yang berbentuk persoalan, memberi kesan mendalam tetapi sedikit terbuka. Jika tujuan sajak adalah memberi kesedaran, elok kiranya ditambah sedikit kesimpulan. Misalnya, ‘dan saat manis bertukar racun/masihkah kau ingin mencicip lagi?’
Sajak ketiga merupakan karya Ibnu Hassan berjudul “Tasbih”. Sajak ini bertemakan kelalaian manusia dalam mengingati Tuhan kerana terlalu sibuk mengejar dunia. Beberapa persoalan dimuatkan dalam sajak ini. Antaranya termasuklah tentang perhatian berlebihan manusia kepada dunia berbanding akhirat, perubahan masa sebagai peringatan bahawa kehidupan tidak kekal dan kematian yang datang tanpa diduga.
Sajak ini dapat dikategorikan sebagai sajak yang mempunyai makna tersirat. Pemilihan simbol yang membina sajak ini menuntut pembaca untuk berimaginasi tentang pertautan antara tasbih dan kehidupan. Dalam sajak ini, seutas tasbih bukan sahaja dapat ditafsirkan sebagai simbol zikir dan ibadah tetapi juga boleh mewakili kehidupan manusia yang terus berlalu.
Di tangan kita tergenggam
seutas tasbih yang diguna
buat meratibkan dunia
seawal pagi mata terbuka
sehingga malam kembali lena.
Hari-hari pun berlalu jadi saksi
dedaunan hijau bertukar kuning
lalu gugur menyembah bumi
bergilir dan silih berganti
namun kita,
masih leka meratib dunia
dengan seutas tasbih yang utuh dalam genggam.
Rangkai benang kehidupan
pengikat butiran nafas
disangkakan masih utuh
tiba-tiba putus berjurai
direntap janji.
Rela atau tidak
manik-manik hayat
perlahan jatuh satu persatu
meluruti bebenang kehidupan
bertaburan di lantai alam.
Sajak ini ditukangi dengan olahan bahasa dan diksi yang baik serta nada bahasa yang lembut. Hal ini dapat memberikan kesan mendalam kepada pembaca. Penulis turut memanfaatkan unsur alam bagi membina makna tersirat. Perhatikan ‘dedaunan hijau bertukar kuning’ yang melambangkan perubahan masa dan usia yang semakin lanjut. Begitu juga dengan metafora ‘manik-manik hayat’, iaitu simbol setiap detik kehidupan yang akan berakhir satu persatu menjadikan sajak ini dapat meninggalkan kesan perasaan kepada pembaca. Manakala ‘meratibkan dunia’ menggambarkan manusia lebih sibuk dengan dunia daripada akhirat.
Keupayaan memanfaatkan unsur alam untuk digandingkan dengan gaya bahasa metafora, personifikasi dan perlambangan membantu penulis untuk menyampaikan mesej dengan lebih berkesan. Pembaca diajak untuk berfikir dan berimaginasi bagi menyedari hakikat bahawa kehidupan adalah sementara dan usah terlalu leka dengan dunia kerana usia pada akhirnya akan bertaburan di ‘lantai alam’.
Bagi memperindah pesona dan makna tersirat sajak ini, aspek penambahbaikan berikut wajar diberi penelitian. Pertama; penggunaan simbolik yang lebih mendalam. Dalam sajak ini, struktur rangkap boleh diperkemas. Ada bahagian yang terasa seperti terlalu padat dengan makna tersirat, mungkin boleh dipisahkan ke dalam rangkap yang lebih pendek untuk memberi lebih impak.
Kedua; ketelitian dalam menyaring diksi. Perhatikan ‘di tangan kita tergenggam/seutas tasbih yang diguna’ menimbulkan persoalan jika ‘digenggam’ bagaimana dapat ‘diguna’? Demikian juga pada ‘dedaunan hijau bertukar kuning/lalu gugur menyembah bumi’. Kata ‘menyembah’ lebih sesuai digunakan untuk sesuatu yang kukuh strukturnya seperti batang pokok.
Ketiga; pengakhiran yang lebih kuat. Bahagian akhir sajak ini telah disolek indah dengan ‘manik-manik hayat perlahan jatuh satu persatu’, tetapi boleh ditambah sedikit unsur perasaan seperti ‘adakah manusia hanya mampu melihat’ bertujuan untuk menggugah emosi pembaca.
Secara keseluruhannya, ketiga-tiga sajak yang ditampilkan dapat membijaksanakan pembaca kerana dapat mengajak proses berfikir, merenung dan mengambil pengajaran daripada mesej yang disampaikan. Diksi dan gaya bahasa yang dimanfaatkan oleh para penulis dalam menukangi sajak ini dilihat berupaya mengetengahkan makna tersirat untuk direnung secara mendalam oleh pembaca. Ulasan yang diberikan tidak kesemuanya secara langsung agar terdapat ruang untuk difikirkan oleh penulis. Moga bermanfaat hendaknya.
Usaha Qaireena, Shafida dan Ibnu Hassan menukilkan sajak yang dapat mendorong pembaca berfikir wajar diberi galakan. Ketekalan latihan dan pembelajaran yang tidak mengenal erti lelah akan memberi impak dalam penulisan sajak yang lebih sarat dengan makna tersirat. Memetik kata-kata Chairil Anwar, penyair, katanya, harus terus-menerus berjuang untuk mencapai teknik yang baik dan mencari makna dari kehidupan ini’. Didoakan semoga sentiasa meningkatkan keupayaan pengkaryaan.
Salam perjuangan, lestarikan pengkaryaan.