
SIBU: Menjelang sambutan Aidilfitri, sesetengah pengusaha lemang berasa terkesan apabila tempahan makanan tradisi berkenaan sedikit kekurangan berbanding sebelum ini.
Pengusaha lemang di Kampung Nangka Sibu, Majidi Omar, 67, berkata, kuantiti tempahan yang diterimanya ada menurun sedikit mungkin disebabkan orang ramai lebih gemar membeli di saat-saat akhir.
“Kami sudah menerima tempahan kira-kira dalam 1,000 batang lemang setakat ini, terus terang saya katakan ia agak pelahan.
“Tetapi permintaan lemang akan meningkat apabila dekat Aidilfitri kelak. Permintaan lemang tahun lepas memberangsangkan, secara kesimpulannya, menjelangnya Aidilfitri, permintaan terhadap lemang memang bagus,” jelasnya kepada Utusan Sarawak, baru-baru ini.
Katanya, harga lemang adalah mengikut saiz buluh.
“Ini adalah kerana saiz buluh tidak sama. Tapi masa dekat nak Aidilfitri, kami akan jual secara terbuka dan orang ramai boleh datang terus untuk beli lemang,” katanya.

Sementara itu, pelanggan Mohammad Khairuddin Rushdi Ayuphan, 31, berkata, dia lebih gemar membeli lemang pada saat-saat akhir.
“Saya lebih gemar membeli lemang pada saat-saat akhir kerana lemang adalah lebih segar.
“Setiap kali Hari Raya, saya akan mencari lemang di sini.
“Selain rasanya yang enak, harga ditawarkan juga berpatutan,” katanya.
Mohammad Khairuddin juga tetap memahami jika terdapat peningkatan harga jualan lemang, tahun ini.
“Jika terdapat peningkatan harga, kami tetap memahaminya kerana harga barang sekarang juga tengah meningkat naik,” katanya.
Oleh Akun Giman