
-Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Sarawak memerlukan pertambahan 54 peratus bilangan doktor dan 45 peratus pertambahan jumlah katil hospital agar setanding dengan negeri lain di Malaysia, menurut Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata, selain kekurangan doktor, Sarawak juga masih mengalami kekurangan kakitangan kesihatan seperti jururawat dan pegawai perubatan yang memberi tekanan kepada sistem kesihatan negeri.
“Kita (kerajaan Sarawak) sedang berusaha dalam menangani isu tersebut bagi memastikan kesihatan masyarakat berada pada tahap terbaik.
“Saya akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kesihatan esok (Selasa) dan selepas itu barulah saya dapat menjelas lanjut berkenaan perkara ini.
“Di Hospital Umum Sarawak (HUS) sahaja, misalnya kita mempunyai 409 jawatan pegawai perubatan (MO), tetapi hanya 387 yang terisi.
“Sepatutnya, kita memerlukan sekurang-kurangnya 563 MO kerana jumlah katil di hospital ini juga meningkat kepada 1,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berkenaan isu kekurangan doktor di negeri ini selepas menghadiri Program ‘Empower HER’ di Dewan Pesona HUS, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Sarawak sedang berbincang dengan Putrajaya untuk memudahkan kepulangan lebih 800 kakitangan perubatan Sarawak yang ingin berkhidmat di negeri ini.
“Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Lukanisman Awang Sauni ditugaskan menangani isu lebih 800 jururawat Sarawak yang menyatakan hasrat untuk berkhidmat di Sarawak.
“Saya telah dimaklumkan mengenai arahan terbaru ini selepas menghadiri pertemuan dengan Kementerian Kesihatan di Putrajaya baru-baru ini,” jelasnya.
OLEH RYNNA SHA’ERRA