


KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki sebagai Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berkuat kuasa hari ini.
Premier Sarawak merangkap Presiden GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelantikan ini telah mendorong kepada satu penyusunan semula kecil dalam Kabinet GPS.
Perubahan kecil yang dijalankan termasuk ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) yang juga berkuatkuasa hari ini.
“Pelantikan baharu dan rombakan kecil dalam Kabinet Sarawak ini bertujuan untuk memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan GPS kepada rakyat serta meningkatkan sektor tenaga, termasuk pelaburan dalam industri minyak dan gas.
“Langkah ini juga akan membolehkan kerajaan Sarawak merancang strategi yang lebih berkesan dalam usaha mencapai visi Sarawak sebagai sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Angkat Sumpah Dato Ibrahim Baki Untuk Jawatan Timbalan Menteri Sarawak di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Menurutnya, Dato Ibrahim akan bertanggungjawab ke atas Petros dengan mengurus dan menyelaras pembangunan gas wilayah ini melalui penubuhan sebuah jawatankuasa menteri yang diketuai oleh beliau.
“Kita memerlukan individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang, korporat serta konsesi untuk menjayakan usaha membangunkan industri gas kita, khususnya pelaksanaan pelan hala tuju industri gas.
“Bagi portfolio menjaga SEB pula adalah untuk memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan juga menambah bekalan tenaga dalam usaha menjadi hab tenaga hijau Asia Tenggara (ASEAN), katanya. -EDISI UKAS