
KUCHING: Sememangnya menjadi satu tuntutan untuk memberi sumbangan, bukan sahaja melalui zakat, tetapi juga sedekah kepada mereka yang memerlukan menurut konteks Ramadan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof, berkata keistimewaan mewujudkan ruang seperti ini, akhirnya akan membentuk keharmonian dalam masyarakat.
“Mereka yang berjaya dalam kehidupan dan perniagaan perlu sentiasa berkongsi rezeki melalui sedekah, hadiah serta zakat kepada golongan yang memerlukan.
“Mereka yang menerima bantuan ini pasti akan mendapat manfaat dan merasa gembira kerana dapat memenuhi keperluan mereka,” katanya.
Fadillah berkata demikian berucap pada Majlis Iftar Ramadan bagi merasmikan dan meraikan anak-anak yatim dan asnaf anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia Cawangan Sarawak (PEKEMA Sarawak) yang berlangsung di sini, malam tadi.
Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 400 jemputan ini, Fadillah menyampaikan penghargaan dan tahniah kepada PEKEMA Sarawak yang bukan sahaja aktif dalam bidang perniagaan, tetapi juga komited melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) setiap tahun.
Sementara itu, Presiden PEKEMA Sarawak, Dato’ Ismail Abang Saufi, dalam ucapan alu-aluannya berkata, majlis ini bertujuan menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada 100 anak yatim dan asnaf yang dijemput khas.
“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, kami berharap ia dapat membantu meringankan beban mereka serta membawa kegembiraan dalam menjalani ibadah puasa dan menyambut Syawal yang bakal tiba.
“Dalam kesibukan menjalankan perniagaan, PEKEMA Sarawak tidak pernah melupakan tanggungjawab sosial untuk memberi semula kepada masyarakat yang memerlukan,” ujarnya.
Terdahulu, dalam majlis berasingan pada pagi tadi, PEKEMA Sarawak turut menganjurkan Program Juh ‘Shopping Raya’ di sebuah pasar raya di Kuching. Sebanyak 200 kupon membeli-belah diagihkan kepada anak-anak yatim dan asnaf dari sekitar bandaraya Kuching.
Pada majlis iftar, Fadillah bersama tetamu kehormat lain turut menyampaikan sumbangan raya berupa wang tunai kepada anak-anak yatim dan asnaf.
Selepas berbuka puasa, Fadillah bersama para jemputan turut menunaikan solat Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato’ Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, sebelum meneruskan jamuan makan malam.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Dato’ Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Penasihat PEKEMA Dato’ Zainuddin Abdul Rahman, Timbalan Presiden PEKEMA Malaysia Dato’ Wan Sazruddeen Dato’ Wan Zaid, Presiden PEKEMA Sabah Ridzuan Datuk Lassim, barisan Exco PEKEMA Sarawak serta tetamu kehormat lain.