

SIMANGGANG: Tradisi pengagihan bubur lambuk dalam kalangan komuniti Islam dan bukan Islam di Taman Harmoni sememangnya mengeratkan lagi silaturahim sesama penduduk.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Harmoni, Hajimalie Morshidi berkata, aktiviti gotong-royong sedemikian membolehkan setiap penduduk selain beragama Islam saling berinteraksi serta bertukar pandangan antara satu sama lain pada Ramadan ini.
“Hari ini pihak kita iaitu KRT Taman Harmoni telah menganjurkan pengagihan bubur lambuk yang mana saya melihat semua penduduk tidak mengira kaum sama-sama turun dan bekerjasama bagi memasak juadah tradisi ini,” katanya.
Semua penduduk bertungkus-lumus dalam menyediakan bubur lambuk merupakan tradisi yang harus diteruskan pada masa hadapan.
“Tradisi sebegini perlu terus hidup terutamanya pada Ramadan bagi mengetengahkan juadah istimewa kepada komuniti setempat agar dapat bersama-sama menikmati keenakannya,” jelasnya.
Dahulu, bubur lambuk hanya disediakan bagi berbuka puasa sahaja, tetapi sekarang, komuniti setempat yang bukan beragama Islam turut berpeluang menikmatinya kerana mereka juga dijemput dalam program tersebut.
“Pada masa sama, bubur lambuk dan juga bubur pedas turut dijual di Bazar Ramadan bagi membolehkannya dinikmati oleh penduduk pelbagai bangsa dan agama di seluruh negeri ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada usaha murni komuniti di Taman Harmoni yang sentiasa bersatu hati dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan.
Dalam pada itu, sebanyak 400 bungkus bubur lambuk telah diagihkan kepada penduduk Taman Harmoni melalui konsep pandu lalu di hadapan Bilik Gerakan KRT Taman Harmoni Simanggang.
OLEH ADI SAFARMAN