
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak komited dalam memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang agar rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik dan jurang kemiskinan dapat dikurangkan.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, dalam usaha membantu masyarakat, program ibu bapa angkat diteruskan sebagai inisiatif kebajikan yang memberi sokongan kepada anak-anak yatim.
“Program ini telah dilaksanakan sebanyak empat kali dalam tempoh empat tahun.
“Pada sesi terbaharu, seramai 150 anak yatim dari rumah kebajikan telah terpilih sebagai penerima bantuan dan menerima baucar bernilai RM200 setiap seorang.
“Bantuan ini bertujuan meringankan beban keluarga mereka agar dapat menikmati suasana perayaan seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika di temui media selepas menyempurnakan perasmian Program Juh ‘Shopping Raya’ PEKEMA Sarawak bersama Anak-anak Asnaf, di Mydin, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan turut menekankan kepentingan ketelusan dalam pengagihan bantuan melalui program e-Kasih yang diklasifikasikan khas untuk Sarawak.
Dato Sri Nancy menegaskan bahawa Sarawak tidak mahu dikenali sebagai negeri kaya yang masih mempunyai rakyat miskin akibat ketidaktepatan dalam sistem bantuan.
“Terdapat isu penyaringan e-ID yang menyebabkan individu yang bukan dalam kategori miskin turut tersenarai dalam program ini.
“Sehubungan itu, kerajaan Sarawak telah meminta semakan kendiri bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan,” jelasnya.
Beliau turut berkata bahawa bagi memastikan rakyat menikmati hasil pembangunan secara saksama, kerajaan menasihati pemilik tanah agar tidak terburu-buru menjual tanah mereka ketika pembangunan dijalankan.
“Tanah yang dijual selepas pembangunan bermula bakal mempunyai nilai lebih tinggi dan memberi keuntungan kepada pemilik asal,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah