
BINTANGOR: Sebanyak 500 bungkus bubur lambuk dan kurma diagihkan kepada masyarakat dan para peniaga di Taman Selera Bintangor menerusi Program Jerayawara Bubur Lambuk 2025 anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Meradong.
Hadir bagi mengagihkan bubur lambuk dan buah kurma ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi Saberkas Cawangan Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.
Koung Hiing berkata, inisiatif tersebut bertujuan memeriahkan suasana Ramadan di samping mengeratkan hubungan antara Saberkas dan masyarakat setempat, khususnya dalam kalangan belia pelbagai kaum di daerah itu.
“Kemeriahan Ramadan ini kita manfaatkan untuk mendekati masyarakat, di samping memperkukuh perpaduan kaum.
“Saberkas Meradong terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Iban dan Cina.
“Kita mahu terus memainkan peranan sebagai jambatan perpaduan,” katanya ketika ditemui media, semalam.
Katanya, Saberkas Meradong akan terus komited melaksanakan pelbagai program yang dapat membentuk sahsiah dan kemahiran golongan belia, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi cabaran alam pekerjaan.
“Kita menggalakkan lebih ramai belia Meradong mengambil bahagian dalam program-program anjuran Saberkas agar bakat mereka dapat diasah dalam suasana harmoni dan saling menghormati,” katanya.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengerusi Pengelola Program yang juga Timbalan Setiausaha Saberkas Cawangan Meradong, Azmi Tambi; Naib Pengerusi Saberkas Cawangan Meradong, Ley Chee Hua; Setiausaha Saberkas Cawangan Meradong, Dominic Amor dan Setiausaha Program Saberkas Cawangan Meradong, Hamzah Mohamad Ladi.
Oleh Earl Anek