Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Perbincangan kerjasama Petros, Petronas diteruskan
  • TEMPATAN

Perbincangan kerjasama Petros, Petronas diteruskan

Utusan Sarawak 2 months ago
TERIMALAH…Julaihi menyampaikan bakul makanan kepada penerima dalam Majlis Iftar Perdana di Masjid Al-Muflihin, Sebuyau malam tadi.

SEBUYAU: Perbincangan antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi mengukuhkan kerjasama dalam industri gas Sarawak masih diteruskan dan diharap dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, langkah ini penting bagi memastikan peranan Petros sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau menjelaskan, hala tuju pembangunan gas di negeri ini telah dirangka menerusi Sarawak Gas Road Map dan pelaksanaan sepenuhnya memerlukan rakan strategik yang kukuh.

“Saya percaya antara rakan strategik yang boleh kita harapkan tidak lain tidak bukan ialah Petronas.

“Jika kerjasama ini dapat dimuktamadkan segera, maka kita dapat melaksanakan Sarawak Gas Road Map dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Iftar Perdana Petronas 2025M/1446H di Masjid Al-Muflihin, Sebuyau, malam tadi.

Julaihi turut menekankan bahawa kerjasama ini bukan sahaja bertumpu kepada industri gas semata-mata, tetapi juga pembangunan tenaga secara menyeluruh di Sarawak.

Menurutnya, terdapat keperluan untuk mempercepatkan projek penjanaan tenaga menggunakan gas, termasuk di Miri, Samalaju dan Kuching, yang akan memberi manfaat kepada negeri dalam jangka panjang.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi bahawa perbincangan antara Petros dan Petronas turut memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur gas seperti saluran paip yang bakal memperkukuh bekalan tenaga di seluruh negeri.

Malah, beliau yakin jika usaha ini dapat direalisasikan dengan Sarawak akan dapat meningkatkan kedudukan sebagai pemain utama dalam sektor tenaga negara, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Petronas atas inisiatifnya dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sarawak, termasuk penganjuran Majlis Iftar Perdana di Sebuyau.

Katanya, sumbangan bakul makanan kepada 250 penerima yang dikenal pasti melalui Yayasan Petronas dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Samarahan merupakan satu langkah yang wajar dicontohi oleh lebih banyak syarikat dan agensi lain.

“Bantuan seperti ini amat bermakna bagi golongan yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan dan menjelang Aidilfitri yang bakal tiba,” ujarnya.

Julaihi turut menyokong usaha Petronas dalam program kebajikan seperti bantuan persekolahan dan mangsa banjir serta berharap lebih banyak organisasi turut membantu masyarakat luar bandar, terutama dengan kemudahan pengangkutan yang kini lebih baik untuk mempercepatkan penyampaian bantuan.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Syed Mohd Fauzi Shahab; Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang; Pengurus Besar Kanan Perhubungan Pihak Berkepentingan, Perhubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan Petronas, Khairuddin M. Jaafar; Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu; serta wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Roslina Zakaria.

Oleh Amanda L

Continue Reading

Previous: ‘Juh Berambeh Sungkei’ eratkan hubungan, kukuhkan perpaduan
Next: Abang Johari berbuka puasa bersama warga PDRM Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.