

PECAH TANAH… Datuk Amar Douglas Uggah melakukan dua upacara pecah tanah bagi projek menaik taraf dua projek pembinaan jalan raya hari ini. Foto ADUN Bukit Saban
SPAOH: Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) mempertimbangkan untuk memendekkan klasifikasi projek sakit daripada 100 hari kelewatan kepada hanya 30 hari.
Menterinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata di bawah peraturan sedia ada Jabatan Kerja Raya (JKR), ia boleh mengambil tindakan jika projek yang diluluskan tidak dilaksanakan secara aktif sehingga 100 hari.
“Kita telah berbincang dan merasakan tempoh 100 hari ini terlalu lama. Jadi kita cuba yang terbaik untuk melihat bagaimana kita boleh mengurangkan ini kepada hanya 30 hari,” katanya selepas melakukan dua upacara pecah tanah bagi projek menaik taraf dua projek pembinaan jalan raya di sini hari ini.
Jalan-jalan tersebut ialah Jalan Mara/Selangking/Ng Sela/Tanjung Paoh yang bernilai RM16 juta dan Jalan Taji Spaoh bernilai RM20 juta.
Mengulas lanjut, Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata sekiranya dalam tempoh 30 hari kontraktor yang diganugerahkan projek dilihat tidak melaksanakan projeknya secara aktif seperti yang dijadualkan, itu bermakna dia tidak mampu meneruskannya.
“Jadi, JKR boleh membuat keputusan untuk penamatan kontrak. Saya percaya campur tangan awal kita akan menjimatkan banyak masa juga. Niat kita bukan untuk menyusahkan kontraktor. Tetapi menjadi tugas kami untuk memastikan semua projek yang diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mesti dilaksanakan mengikut jadual untuk memenuhi objektif projek,” katanya.
Uggah berkata seperti hari ini, pihaknya telah melaksanakan upacara pecah tanah untuk dua projek naik taraf jalan dan orang ramai yang menggunakan jalan raya berkenaan akan menjangkakan ia akan disiapkan mengikut jadual.
“Jadi saya merayu kepada kontraktor untuk melakukan yang terbaik dalam menyiapkan projek ini seperti yang dijadualkan jika tidak lebih awal dan menepati spesifikasi,” ujarnya.
Beliau berkata apabila projek dilaksanakan mengikut jadual ia akan menjana ekonomi tempatan melalui kesan ‘spin off’. Beliau berkata ketika pertama kali melaporkan di MIPD, terdapat lebih 100 projek sakit di negeri ini.
“Sekarang kita telah berjaya mengurangkan ini kepada hanya dua projek sakit,” katanya.
Mengenai isu lain, beliau berkata dengan peningkatan projek untuk dilaksanakan, menaik taraf dan menyelenggara, JKR perlu memperkukuh kapasiti dan tenaga kerjanya.
“Ia memerlukan seramai 414 pegawai baharu dan tahun lepas telah berjaya mengambil 60 orang. Ia akan mengambil baki 354 dalam tahun ini.
“Premier kita juga telah memberi petunjuk bahawa suatu hari nanti Sarawak akan meningkatkan bajetnya kepada RM20 bilion. Dengan bajet yang besar ini, jelas sekali JKR perlu menambah atau menambah baik kapasiti dan keupayaannya dalam proses pelaksanaan.
“Lagipun masih ada kawasan yang perlu dibina, dinaik taraf dan diselenggara. Jadi saya harap JKR akan terus mengkaji bagaimana ia boleh menaik taraf tenaga kerja dan kemudahannya untuk memberikan perkhidmatan bertaraf dunia,” tambahnya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Pengarah JKR Sarawak, Dr Cassidy Morris dan Residen Bahagian Betong, Richard Abunawas.
Oleh Adi Saparman