


SIBU: Menjelang Aidilfitri yang semakin hampir, seorang peniaga biskut raya tetap berpegang teguh pada prinsip ‘Rahmah’, menawarkan harga mampu milik walaupun berdepan dengan kenaikan kos bahan mentah.
Nur Sabariah Banar, 35, yang telah menjalankan perniagaan ini sejak dua tahun lalu berkata, permintaan terhadap biskut rayanya meningkat dengan ketara tahun ini, yang mana tempahan sudah ditutup lebih awal berbanding tahun sebelumnya.
“Syukur, permintaan sangat luar biasa. Pada 10 Mac, saya sudah menutup tempahan popia berinti kerana permintaan mencecah hampir 50 kilogram, yang perlu disiapkan sebelum 28 Mac. Tempahan biskut lain pula ditutup pada 15 Mac,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Antara biskut yang paling laris termasuklah popia berinti, almond London, makmur susu inti kacang dan tart nanas.
Mengulas cabaran perniagaan, Nur Sabariah mengakui kenaikan harga bahan mentah memberi kesan kepada kos operasi. Namun, beliau tetap komited menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan.
“Setiap kali musim perayaan, saya akan mengadakan promosi jualan sedekah, seperti popia berinti pada harga RM35 sekilogram dan biskut pada RM10 sahaja.
“Saya mengekalkan harga Rahmah ini untuk memastikan pelanggan tidak kecewa dan masih mampu membeli biskut raya,” jelasnya.
Purata jualan harian beliau mencecah antara 30 hingga 50 balang biskut, namun permintaan yang tinggi sering kali menjadi cabaran kerana kekurangan tenaga kerja.
“Saya terpaksa menolak sebahagian tempahan jika pesanan sudah penuh kerana tidak cukup tenaga kerja untuk menyiapkannya,” ujarnya.
Bagi memastikan perniagaannya kekal berdaya saing, beliau memberi penekanan kepada kualiti dan rasa biskut yang konsisten, sekali gus menarik pelanggan setia setiap tahun.
Dalam pada itu, beliau juga berhasrat untuk mengembangkan perniagaannya ke pasaran yang lebih luas pada masa depan serta berharap industri biskut raya tempatan terus berkembang dan menembusi pasaran antarabangsa.
OLEH TARANI LANTING

