KUALA LUMPUR: Maybank dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) mensasarkan untuk mengeluarkan sebanyak RM300 juta dalam tahun pertama SME Clean Loan/Financing Plus untuk memberi manfaat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama, dua syarikat itu berkata, Clean Loan/Financing Plus, yang pertama diperkenalkan di pasaran terdiri daripada gabungan 30 peratus Pinjaman Berjangka dan 70 peratus kemudahan Overdraf tanpa jaminan kerana 70 peratus daripada jumlah pinjaman dijamin oleh CGC.
Jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah daripada RM250,000 hingga RM1 juta untuk tempoh minimum tiga tahun sehingga tujuh tahun. SME Clean Loan/Financing Plus dibuka untuk semua pelanggan Maybank dan juga pelanggan baharu.
Maybank dan CGC telah memperuntukkan RM1 bilion untuk kemudahan tersebut, ia terdiri daripada skim pembiayaan Islam dan konvensional.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank untuk Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Datuk John Chong berkata, pelancaran SME Clean Loan/Financing Plus itu adalah sangat tepat pada masanya memandangkan kebanyakan PKS sedang menghadapi masalah aliran kewangan setelah berbulan-bulan perniagaan mereka terjejas.
“Keunikan penyelesaian ini terletak pada fleksibilitinya dalam membolehkan PKS mendapatkan wang pendahuluan daripada pinjaman jangka masa sementara kemudahan overdraf yang sedia ada akan membantu pengurusan aliran tunai mereka.
“Selain itu, berbeza berbanding kemudahan overdraf bersih lain di pasaran di mana had biasanya akan berkurangan dalam tempoh sebulan selepas pengeluaran pembiayaan itu, SME Clean Loan/Financing Plus hanya akan berkurangan dalam tempoh dua tahun selepas pengeluaran pembiayaan dikeluarkan, memberikan aliran tunai yang cukup kepada PKS untuk memenuhi keperluan aliran tunai jangka pendek mereka,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk menyokong PKS di negara ini, Maybank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM4.9 bilion kepada PKS dengan kadar kelulusan 85 peratus pada 31 Mei 2020.
Kira-kira 88 peratus pinjaman tertunggak PKS kini dalam tempoh moratorium selama enam bulan bermula dari Mac lepas hingga September 2020.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, Inisiatif itu adalah salah satu usaha kami untuk mengurangkan kesan penularan Covid-19 dengan menyediakan sokongan aliran tunai yang disasarkan kepada PKS supaya mereka dapat meneruskan operasi mereka dan merancakkan kembali ekonomi.
Kemudahan ini yang juga disokong oleh Skim Jaminan Portfolio CGC, ia mempunyai ciri khas yang akan memberi PKS kemampuan untuk menguruskan mudah tunai mereka dengan lebih baik disebabkan oleh keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini. – Bernama