
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited terus membantu pesakit buah pinggang melalui inisiatif Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata peruntukan tahun ini sebanyak RM4.7 juta bakal digunakan untuk membantu 201 pesakit buah pinggang melalui inisiatif tersebut yang disalur di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pesakit ini dengan bantuan Arteriovenous Fistula (AVF), kemudian menjalani rawatan dialisis. Selain itu, mereka juga disuntik dengan erythropoietin (EPO).
“Selain itu, jika mereka memerlukan bantuan dari segi pengangkutan, terdapat juga bantuan untuk membantu mereka bagi setiap lawatan ke pusat hemodialisis.
“Jadi, terdapat bantuan dari segi pembayaran atau bantuan pengangkutan sebanyak RM50.
“Bagaimana kerajaan membantu? Kerajaan membantu dengan membuat bayaran kepada pusat tersebut,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke Pusat Hemodialisis MyAngkasa di sini hari ini.
Secara ideal tambahnya, kerajaan Sarawak mahukan pesakit untuk menjalani rawatan di hospital kerajaan namun pesakit yang tidak menjalani rawatan di hospital akan dirujuk di pusat hemodialisis swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang mana pembayaran dibayar kepada pusat tersebut mengikut jumlah pesakit di bawah inisiatif tersebut.
Tambahnya, daripada 201 tersebut, seramai 184 pesakit merupakan pesakit lanjutan manakala 17 lagi adalah pesakit baharu.
Selain itu, kerajaan Sarawak juga telah membeli 24 mesin dialisis yang akan diletakkan di hospital dan klinik terpilih di seluruh Sarawak bagi menampung pesakit buah pinggang yang bertambah setiap tahun.

“Keadaan unit dialisis di hospital kerajaan atau klinik kerajaan tidak dapat menampung jumlah pesakit yang ramai.
“Saya telah melawat banyak unit dialisis kerajaan dan klinik kesihatan kerajaan — mereka tidak dapat menampung bilangan pesakit yang terlalu ramai dan ruang juga terhad,” ujarnya. – UKAS