MINAT dan hobi menghasilkan kraftangan manik menyerlahkan kreativiti yang dimiliki oleh seorang kerani sekolah di salah sebuah Sekolah Kebanngsaan Jenis Cina (SJKC) di Sarikei.
Sehingga kini, Cassyline Ambun telah memiliki koleksi lebih 100 buah hasil kraftangan manik yang dihasilkannya sendiri.
Utusan Sarawak telah bertandang ke rumahnya di Taman Susur Jambu untuk melihat pelbagai koleksi kraftangan manik miliknya.
Katanya, dia mula berminat menghasilkan manik sejak lapan tahun lalu apabila melihat hasil kraftangan manik yang dihasilkan oleh mendiang kakaknya.
“Saya mula menghasilkan kraftangan manik sejak lapan tahun lalu, tiga tahun sebelum kakak saya meninggal dunia.
“Dia banyak mengajar saya cara bagaimana menghasilkan seni kraftangan menarik dari manik,” katanya.
Tambahnya, pada mulanya dia agak kekok menyulam manik, namun dorongan dan tunjuk ajar dari kakaknya pada masa itu menguatkan lagi semangat ingin belajar dan cintanya dengan kraftangan manik.
“Selain itu, saya belajar menghasilkan kraftangan manik dari internet dan merujuk kepada kawan-kawan dan ibu saudara saya yang turut mempunyai minat yang sama seperti saya.
“Kraftangan manik yang saya hasilkan adalah untuk koleksi sendiri dan hiasan dalam rumah.
“Saya tidak menjual koleksi kraftangan manik ini dan saya simpan dalam almari sebagai hiasan,” ujarnya.
Tambahnya, antara koleksi bentuk kraftangan manik yang dihasilkannya ialah kraftangan manik buah-buahan, pakaian anak patung ‘barbie’ dan haiwan.
Cassyline juga menghiasi patung ‘barbie’ yang dibelinya dengan pakaian baharu yang diperbuat dari manik yang dihasilkannya.
“Buat masa ini saya mempunyai lebih kurang 14 anak patung ‘barbie’ yang dihiasi dengan pakaian manik.
“Hasil dari minat yang mendalam, saya berjaya menghasilkan pakaian baharu untuk anak patung ‘barbie’ dan ia adalah antara koleksi kegemaran saya,” katanya lagi.
Selain itu katanya, fraftangan manik bentuk naga adalah kraftangan manik yang mahal pernah dihasilkannya.
Naga yang diperbuat dari manik ini memerlukan lebih sebulan untuk disiapkan kerana dia hanya menyulam manik apabila balik kerja dan pada hujung minggu.
“Kos untuk membuat kraftangan seekor naga yang agak panjang ini adalah lebih RM200, memandangkan saya menggunakan manik dari Jepun yang agak mahal dan manik yang tahan lama dari manik biasa,” ujarnya.
Katanya, kraftangan manik berbentuk naga itu dijadikan hiasan atas televisyen rumahnya.
Menurut Cassyline, sepanjang berada dirumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia menggunakan masa tersebut untuk menghasilkan kraftangan bunga-bunga bonsai dan kraftangan haiwan dari manik.
“Kini saya masih dalam perancangan untuk menghasilkan tanglung dari manik untuk hiasan dalaman rumah.
“Saya masih mencari manik-manik dengan saiz manik yang sesuai dan tahan lama untuk menghasilkan tanglung ini.
“Doakan semoga saya berjaya menghasilkan tanglung dari manik ini,” katanya menamatkan temubual bersama Utusan Sarawak.
Oleh Earl Anek