PUTRAJAYA: Pembangunan generasi muda dalam semua aspek pembangunan, termasuk yang berkaitan dengan modal insan, menjadi keutamaan kerajaan hari ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kerajaan melihat generasi muda sebagai generasi yang menentukan kelangsungan pembangunan masa kini dan perlu dilibatkan dalam proses pembangunan dasar.
Dalam merealisasikan hasrat tersebut katanya, kompetensi utama yang harus dibangunkan dalam pelaksanaan program pembangunan belia termasuklah kemahiran kepimpinan.
“Setiap belia harus memiliki ciri kepemimpinan yang baik. Paling kurang, belia harus mampu memimpin diri sendiri.
“Belia yang mampu memimpin diri sendiri bukan saja tidak menjerumuskan diri dengan kegiatan tidak sihat, sebaliknya akan menjadi rakyat yang patriotik dan mampu menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat menerusi budaya kemasyarakatan dan kesukarelaan yang tinggi,” katanya pada majlis penyerahan peserta Felo Perdana kepada ahli jemaah menteri bagi tahun ini, di sini semalam
Program Felo Perdana tahun ini melibatkan seramai 82 orang belia dengan 58 daripadanya adalah siswazah dan 24 siswa. Kira-kira 42 peratus daripada jumlah keseluruhan peserta adalah daripada latar belakang keluarga B40.
Menurut Muhyiddin, selari dengan situasi pascapandemik Covid-19, keutamaan penyertaan peserta untuk program Felo Perdana tahun ini adalah terdiri daripada kalangan siswazah berbanding siswa, dengan peratusannya adalah 70 peratus siswazah dan 30 peratus lagi adalah siswa.
“Saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada semua peserta Felo. Saudara dan saudari semua adalah anak muda yang terpilih daripada 637 orang yang telah memohon untuk menyertai program ini serta 298 orang yang memohon Felo Korporat,” katanya.
Muhyiddin berkata, peserta Felo Perdana juga merupakan jurucakap tidak rasmi kerajaan.
“Saya menyeru agar saudara-saudari dapat menjadi pengantara di antara kerajaan dan golongan belia di luar sana, terutamanya dalam menyampaikan fakta dan polisi kerajaan terutamanya dalam memerangi wabak Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara pascapandemik,” katanya.
Menyingkap kembali tahun pertama program Felo Perdana diperkenalkan pada 2013, Muhyiddin berkata beliau turut menerima kumpulan pertama Felo dan kesemua alumni Felo di bawah seliaannya telah bekerja di sektor swasta dan kerajaan, dan ada juga yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di universiti terkemuka dunia.
Menurutnya, beliau juga telah mengadakan pertemuan secara tidak berkala bersama mereka bagi mendapatkan pandangan dan input mengenai apa yang kerajaan boleh bantu terutamanya kepada golongan belia.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga menekankan selain kemahiran kepimpinan, program pembangunan belia juga harus menekankan aspek kemahiran insaniah, antaranya kemahiran pengurusan, kemahiran berkomunikasi dan hubungan perseorangan, keterampilan diri dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Setiap kemahiran yang dipelajari perlu ditambah baik dan digarap semula mengikut acuan tersendiri dengan memberi tambah nilai terhadap setiap kemahiran tersebut mengikut bidang dan minat masing-masing, katanya.
“Gunakanlah kesempatan ini untuk mempelajari sebanyak mungkin kemahiran-kemahiran tersebut dan kongsikan lah kemahiran berkenaan dengan rakan-rakan di luar sana yang mungkin tidak bernasib baik untuk terpilih menyertai program latihan kepimpinan belia aras tertinggi ini,” katanya.
Perdana menteri juga menasihatkan jemaah menteri untuk melatih Felo sebaiknya seperti “anak sendiri”, menunjukkan teladan yang baik serta memberikan pengalaman yang tidak ternilai sepanjang penempatan mereka.
Katanya jemaah menteri juga perlu terbuka mendengar suara anak muda dan menjadikan aspirasi tersebut sebagai sebahagian daripada pandangan penting dalam proses mengubal dan merencana polisi-polisi baharu.
Menurut Muhyiddin, salah satu tugas utama Felo, selain mendapat pengalaman bertugas sebagai ‘pelatih eksekutif’, mereka juga dipertanggungjawabkan untuk menyedia dan membentangkan cadangan kertas polisi berkaitan dengan kementerian masing-masing.
“Kertas polisi ini boleh digunakan sebagai salah satu input dalam merangka inisiatif-inisiatif baharu di peringkat kementerian,” katanya dengan memberikan contoh kertas polisi yang lahir daripada idea peserta Felo Perdana Tahun 2019 adalah program biodiesel dalam sektor pengangkutan.
Susulan daripada cetusan idea yang secara tidak langsung meningkatkan permintaan minyak sawit domestik itu, beliau berkata kerajaan telah melancarkan program Biodiesel B20 pada Februari lepas dan akan diteruskan di bawah pentadbiran baharu ini.
Muhyiddin berkata, program Felo Perdana telah berjaya menunjukkan keberhasilannya dengan ada yang telah menjadi menteri, terlibat secara aktif dalam bidang politik dan badan bukan kerajaan (NGO), pengusaha syarikat pemula niaga serta ada yang sedang berkhidmat bersama menteri sebagai pegawai khas.
“Pokoknya, program ini merupakan platform terbaik kepada anak muda terpilih untuk mengasah bakat kepimpinan sedia ada dan mempersiapkan diri untuk mengharungi cabaran pada masa akan datang.
“Peserta bakal mengalami sendiri bagaimana jentera pentadbiran kerajaan menggubal dasar baharu dan membuat keputusan pentadbiran yang memberi kesan kepada rakyat, sekali gus menjadi pengantara untuk menjelaskan prosedur itu kepada umum, khususnya generasi muda,” katanya
Justeru, perdana menteri berharap peserta Felo Perdana dapat menggunakan peluang tersebut untuk meningkatkan pengalaman dan ilmu pengetahuan, khususnya berkaitan dengan proses pentadbiran kerajaan dan korporat.
“Harapan saya, buat para belia terpilih yang juga merupakan bakal pemimpin negara, inilah masanya untuk saudara dan saudari menonjolkan kualiti dan kebolehan diri masing-masing kerana peluang seumpama ini hanya hadir sekali sahaja dan mungkin tidak akan berulang kembali,” katanya. – Bernama