
WASHINGTON: Paras laut global meningkat lebih cepat dan pantas pada 2024, yang juga tahun paling panas yang pernah direkodkan di bumi, menurut analisis dikeluarkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat (AS).
Menerusi laman sesawangnya, agensi angkasa NASA itu menjelaskan peningkatan paras laut tahun lalu, ‘berpunca daripada jumlah pemanasan lautan yang luar biasa selain turut digabungkan dengan air cair daripada ais berasaskan darat seperti glasier’.
Menurut analisis diketuai oleh NASA, yang memantau peningkatan paras air menggunakan imej satelit, laut dunia meningkat sebanyak 0.59 sentimeter (sm) pada 2024, jauh melebihi 0.43sm yang diramalkan saintis.
“Setiap tahun wujud sedikit perbezaan, tetapi apa yang jelas ialah paras lautan terus meningkat dan kadar kenaikan semakin cepat dan pantas,” kata penyelidik Josh Willis dari Makmal Jet Propulsion NASA.
Kenaikan paras laut adalah antara kesan perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia.
Paras lautan meningkat selaras dengan kenaikan suhu purata permukaan Bumi iaitu perubahan yang berpunca daripada pelepasan gas rumah hijau.
Menurut NASA, dalam tempoh tiga dekad dari 1993 hingga 2023, purata paras laut global secara keseluruhan meningkat kira-kira 10sm.
Fenomena itu sebahagian besarnya disebabkan oleh dua faktor iaitu pencairan glasier dan ais di kawasan kutub, yang meningkatkan aliran air tawar ke lautan dan pengembangan air laut akibat haba, satu proses yang dikenali sebagai pengembangan haba.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kenaikan paras laut lebih banyak disebabkan oleh pencairan ais berbanding pengembangan thermal atau haba, menurut NASA.
“Tetapi pada tahun lalu, faktor penyebab itu berubah, dengan dua pertiga daripada kenaikan paras laut disebabkan daripada pengembangan haba,” kata agensi itu.
2024 adalah tahun paling panas dalam rekod sejak rekod sedemikian mula dicatatkan pada 1850.
Paras laut dijangka terus meningkat apabila manusia terus mengeluarkan gas rumah hijau, mengancam sejumlah besar penduduk yang tinggal di pulau atau di sepanjang pantai. – AFP