
PETRA JAYA: Jawatankuasa Penganjur Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Baton Run 2025 telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur semalam.
Dalam pertemuan itu, mereka secara rasmi menjemput beliau untuk merasmikan majlis pelepasan acara tersebut di Miri.
Lee menyatakan sokongan penuh terhadap acara itu dan menegaskan komitmennya dalam menyokong inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti Pekak dan sukan untuk golongan tersebut.
Beliau turut menzahirkan sokongan berterusan terhadap Persatuan Orang Pekak Sarawak serta penganjuran Sukan Orang Pekak Sarawak sejak beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Muda Belia dan Sukan.
“Saya amat mengagumi semangat dan ketabahan atlet pekak. Keupayaan mereka mengatasi cabaran serta bersaing di peringkat tinggi sangat mengagumkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk menyertai SOPMA Baton Run 2025 dan memberi sokongan kepada komuniti Pekak. Acara ini akan bermula di Miri pada 4 Mei, diikuti oleh Bintulu pada 18 Mei, Sibu pada 25 Mei dan kemuncaknya di Kuching pada 8 Jun.
SOPMA Baton Run 2025 dijangka menarik penyertaan seramai 4,500 peserta dari empat bahagian utama di Sarawak, iaitu Miri, Bintulu, Sibu dan Kuching.
Pengerusi Penganjur, Victor Hii Lik Nguong, berkata objektif utama acara ini adalah untuk mengumpul dana bagi penganjuran SOPMA XXII Sarawak 2025 serta aktiviti sukan tahunan lain.
Menurutnya, jumlah penyertaan sasaran bagi setiap lokasi adalah 1,000 peserta di Miri, Bintulu, dan Sibu, manakala Kuching dijangka menarik seramai 1,500 peserta.
Beliau turut berharap acara ini dapat membantu mengenal pasti serta membangunkan bakat sukan dalam kalangan atlet Pekak, termasuk dari kawasan luar bandar.
Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh didapati melalui laman rasmi SOPMA Sarawak di https://www.ticket2u.com.my/event/40069/sopma-baton-run-2025.