
BINTULU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Bintulu menerima sumbangan 50 unit kipas meja daripada pengedar Toshiba di Bintulu, Onn Tien Electrical Trading Co., untuk disalurkan kepada mangsa banjir yang terjejas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming merakamkan penghargaan kepada Toshiba dan Onn Tien Electrical Trading Co. atas keprihatinan serta sumbangan mereka kepada mangsa banjir yang sedang menghadapi pelbagai cabaran.
“Bintulu baharu sahaja mengalami banjir luar biasa dan walaupun kehidupan semakin pulih, kerugian yang dialami mangsa jauh lebih besar daripada yang dijangkakan.
“Penduduk di kawasan bandar khususnya berdepan tekanan kewangan yang tinggi untuk membaik pulih kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Johnny Pang berkata, setelah mengetahui keadaan keluarga yang terjejas, Onn Tien Electrical Trading Co. menghubungi pembekal mereka bagi mendapatkan bantuan, khususnya dalam menyediakan peralatan rumah asas kepada mereka yang memerlukan.
Menurutnya, bencana itu telah menarik perhatian seluruh negara terhadap keadaan di Bintulu dan menunjukkan betapa seriusnya impak yang dihadapi penduduk.
Beliau menghargai usaha pelbagai organisasi, badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik yang segera menghulurkan bantuan, selain peniaga barangan elektrik yang menawarkan potongan harga kepada mangsa banjir bagi membantu mereka mendapatkan peralatan rumah yang diperlukan.
“Dalam menghadapi bencana, usaha individu mungkin kelihatan kecil, tetapi dengan perpaduan dan sokongan bersama, kita mampu mengatasi cabaran ini dan bangkit semula sebagai satu komuniti yang kuat,” ujarnya.
OLeh Carolyne Utih