KUCHING: Semua daerah di Sarawak berada dalam status hijau setelah daerah Kuching bertukar status daripada kuning kepada status hijau semalam.
Pengumuman oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata indikator kod warna daerah berdasarkan bilangan kes yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
“Kod warna Merah bagi bilangan kes melebihi 40 orang, Kod warna Kuning bagi bilangan kes 1-40 orang dan kod warna Hijau bagi tiada kes,” katanya dan menambah status itu tidak melibatkan kes import dari luar negara.
Berikutan khabar gembira itu, Uggah mewakili kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menzahirkan terima kasih kepada pengorbanan, kerjasama dan semua pihak yang berusaha bersama kerajaan untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 di negeri ini.
“Saya berharap pengorbanan dan kerjasama ini diteruskan supaya keadaan kita di Sarawak lebih baik dan kehidupan kita di Sarawak kembali kepada pre-Covid19.
“Walaupun angka kita sudah kurang dan lengkungan kita sudah rata tetapi kita jangan leka kerana (gelombang Covid-19 baharu) boleh terjadi… kita boleh lihat di sesetengah negara ia berlaku kembali,” tegasnya.
Menjadikan contoh Melbourne, Australia yang terpaksa mengumumkan ‘lockdown’ kembali setelah enam minggu berikutan gelombang baharu muncul, Uggah memohon rakyat agar meneruskan SOP kerajaan dan mengamalkan penjarakan sosial 1 meter, menjaga kesihatan dan kebersihan serta mengelak berada dalam khalayak ramai.
“Dengan pematuhan ini kita harap dapat mengekalkan Sarawak berstatus Hijau,” ujarnya pada sidang media di sini semalam.
Sementara itu, katanya semalam juga direkodkan sebanyak 18 PUI baharu dilaporkan dan lapan kes masih menunggu ujian makmal.
“Sebanyak lima orang masih menerima rawatan di dalam wad isolasi hospital. Semua mereka adalah rakyat Sarawak yang baru balik dari luar negara dan telah dikuarantin di pusat kuarantin,” katanya.
Sehingga kini, Uggah mendedahkan kesemua lima kes positif ditemui melalui SOP ujian PCR dan kuarantin wajib untuk mereka yang balik dari luar negara melalui KLIA ke Sarawak.
“Walaupun kesemua lima kes tersebut telah diuji negatif melalui ujian RTK Antigen di KLIA, mereka diuji positif melalui ujian PCR,
“Antara mereka, seorang di Miri kembali dari Tunisia, dua di Bintulu kembali dari Mexico dan UK dan dua di Sibu masing-masing kembali dari UK dan Arab Saudi,” ujarnya.
Oleh itu, Uggah mengingatkan JPBNS ingin menekankan bahawa adalah diwajibkan bagi mereka yang pulang dari luar negara untuk menjalani ujian PCR semasa ketibaan dan dikuarantin sehingga keputusan ujian mereka negatif sebelum dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.
“Mereka akan diambil sampel kedua pada hari ke-10,” jelasnya.
Oleh Diyana Samsuddin