
BINTULU: Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bukan sekadar majlis berbuka puasa, tetapi juga wadah kebersamaan dalam membantu golongan memerlukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, inisiatif seumpama itu perlu diperluas dan tidak hanya tertumpu pada musim perayaan semata-mata bagi memastikan bantuan berterusan kepada mereka yang memerlukan.
“Program ini bukan sekadar sebuah majlis berbuka puasa, tetapi juga sebahagian daripada komitmen CSR syarikat untuk membantu anak-anak yatim, murid golongan B40, serta mualaf yang pertama kali menyambut Aidilfitri.
“Semoga program ini menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif kebajikan yang dapat kita laksanakan bersama pada masa hadapan.
“Saya juga berharap agar anak-anak serta saudara mualaf yang diraikan pada hari ini mendapat manfaat dan kegembiraan daripada program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim, Murid Golongan B40 dan Golongan Mualaf anjuran Yayasan Bintulu Port di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Majlis di bawah program Jalinan Kasih Ramadan Yayasan Bintulu Port itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Bintulu (PERYATIM) serta 150 saudara baharu dari tiga persatuan, iaitu Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Bintulu, Persatuan Kebajikan Tiong Hua Islam Sarawak (PERKTHIS) Bintulu, dan Urusetia Saudara Kita (USK) Bintulu).
Selain itu, seramai 100 pelajar daripada keluarga B40 yang mewakili 12 sekolah terpilih sekitar Bintulu turut menerima sumbangan sebagai sebahagian daripada usaha meringankan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri.
Selain berbuka puasa bersama, program turut diserikan dengan tazkirah Ramadan, penyampaian sumbangan Hari Raya, serta sesi solat Maghrib, Isyak, dan Tarawih berjemaah.
Turut hadir ialah Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Ruslan Abdul Ghani, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu Datuk Haidar Khan Asghar Khan, serta Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber PETROS Datuk Abang Arabi Abang Narudin.
Oleh Carolyne Utih