
KALI terakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan ialah pada 18 Disember 2021.
Pada 18 Disember 2026, genap lima tahun tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.
Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027.
Tetapi di bawah Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, memperuntukkan lanjutan selama 60 hari mesti diadakan pilihan raya daripada tarikh tamat tempoh DUN.
Bab ini diguna pakai pada PRN12 Disember 2021, setelah tempoh DUN berakhir pada 6 Jun 2021, berikutan penularan Covid-19.
Namun dalam perlembagaan itu, sama ada Covid-19 atau tidak, itulah termaktub dalam peraturan.
Ini bermakna, PRN Sarawak akan datang boleh dipanjangkan sehingga Ogos 2027.
Hakikatnya perkara ini jarang berlaku kecuali pada 2021.
Malah jarang juga pilihan raya diadakan menghampiri tempoh tamat dan kebiasaannya diadakan beberapa bulan lebih awal.
Yang pasti Sabah mengadakan PRN dalam tahun ini.
Kerajaan Sabah yang ada sekarang mempunyai tempoh sehingga Oktober ini sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN17.
Berbanding Sarawak, sejarah politk Sabah sering mengalami perubahan tampuk kepemimpinan akibat perebutan kuasa dan ketidakstabilan gabungan politik menjadikan PRN menarik diperhatikan.
Kerajaan negeri Sabah sedia ada ditadbir oleh Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor.
Tetapi Hajiji yakin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus yang ada sekarang dijangka sekali lagi mampu membentuk kerajaan selepas PRN17 nanti.
Namun, hingga kini tidak pasti sama ada wujud kerjasama antara GRS, PH dan Barisan Nasional (BN) yang bakal menjadi dimensi utama menentukan corak pertandingan dalam pilihan raya Sabah.
Pada masa sama, kekuatan parti tempatan seperti Parti Warisan (Warisan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) serta calon Bebas turut menjadi perhatian, dalam perkiraan keputusan PRN itu nanti.
Malah kemungkinan PRN Melaka juga boleh diadakan pada tahun ini.
PRN Melaka sebelum ini diadakan pada November 2021, dan tempoh DUN negeri itu akan berakhir pada 2026, tetapi tidak mustahil ia akan dipercepatkan pada tahun ini.
KINGMAKER
Enam negeri lain sudah mengadakan pilihan raya negeri masing-masing pada Ogos 2023 dan jangka hayat pentadbiran sehingga 2028.
Kesimpulan PRN itu menyaksikan keputusan ‘status quo’ iaitu Pakatan Harapan (PH) terus kuasai Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala Perikatan Nasional (PN) kekal di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pilihan raya umum ke-16 (PRU16) pula perlu diadakan sebelum Disember 2027, dan tidak mustahil ia diadakan lebih awal, seawal tahun depan 2026.
Kali terakhir PRU diadakan ialah pada 19 November 2022.
PRU16 juga akan menjadi penentu sama ada Kerajaan Perpaduan akan kekal atau hanya sepenggal.
Apakah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekali lagi menjadi ‘kingmaker’ yang bukan sahaja menstabilkan Kerajaan Persekutuan, malah menentukan siapa Perdana Menteri ke-11?
Namun sebelum itu berlaku atau sebelum PRU16, Sarawak terlebih dahulu akan mengadakan pilihan raya negeri.
Pemerhati sudah mula meramalkan, pilihan raya negeri ini kemungkinan besar diadakan akhir tahun ini atau suku pertama tahun depan. Itu ramalan ‘pakar’ seperti juga ramalan cuaca – ada ramalan yang tepat, ada pula tersasar.
Hanya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tahu bila mahu tekankan butang ‘mood’ PRN.
Ia kemudian disusuli tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi setelah DUN dibubar.
Amat jarang PRN Sarawak hatta pilihan raya umum (PRU) untuk Parlimen sekalipun diadakan menghampiri tarikh tamat tempoh penggal penuh lima tahun.
Namun, sejarah tersendiri sudah tercatat apabila PRN ke-12 Sarawak diadakan berlanjutan melebihi tempoh tamat pemerintahan disebabkan pembubaran DUN ditangguhkan dalam keadaan unik.
Untuk rekod, penggal DUN Sarawak telah tamat pada 6 Jun 2021, namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ini berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu Covid-19 yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.
DARURAT
Darurat di seluruh negara diisytiharkan dari Januari hingga Ogos 2021 dan seterusnya di Sarawak dilanjutkan selama enam bulan lagi, namun ia ditarik kembali pada 3 November 2022 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, yang memberi laluan kepada PRN Sarawak setelah mengadakan rundingan dengan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri Sarawak ketika itu, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Untuk rekod, GPS berjaya memenangi 76 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada PRN ke-12 yang lepas.
Namun, kini GPS menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN di Sarawak setelah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti pembangkang yang telah dibubarkan secara rasmi 6 April 2024 iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), manakala seorang ADUN lagi keluar dan isytihar sebagai ADUN Bebas.
Kini hanya ada dua wakil pembangkang dari DAP dalam DUN iaitu Chong Chieng Jen (Padungan) dan Violet Yong (Pending) selain seorang ADUN Bebas, See Chee How (Batu Lintang), dikatakan ‘mesra GPS’.
PDP adalah antara empat parti komponen dalam GPS.
Tiga lagi ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Tiga ADUN PSB yang menyertai PDP adalah bekas Presidennya, Dato Sri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dan Baru Bian (Ba’kelalan).
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 2021, PSB bertanding sebagai parti pembangkang dan memenangi empat daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, menerusi Soon Koh di Bawang Assan, Dr Rayong (Engkilili), Baru Bian (Ba’ Kelalan) dan See Chee How (Batu Lintang).
Pada Ogos 2022, Chee How telah bertindak keluar dari PSB dan menjadi ADUN Bebas dalam DUN Sarawak, yang dikatakan sedang ‘dipikat’ oleh SUPP.
DAP kekal sebagai pembangkang dalam DUN Sarawak tetapi menjadi sebahagian daripada komponen parti dalam Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama GPS selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Satu lagi persoalan ialah sama ada Kabinet diterajui Abang Johari akan dirombak sebelum PRN, mengambil kira suara perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada pemilihan di perhimpunan agung parti itu bulan lalu.
Sumber memberitahu penulis, Premier Sarawak tidak mungkin membuat rombakan Kabinet sebelum pilihan raya negeri kerana ‘tempoh’ untuk PRN sudah dekat.
Bila? Tunggu dan lihat.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.