

KAPIT: Laluan ke Rumah (Rh) Rolan Bangau, Sungai Tisa, Jalan Sungai Ulu Yong yang terhalang akibat kejadian tanah runtuh pagi tadi berjaya dibuka semula.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerusi kenyataannya memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 7.06 pagi, dengan lokasi kejadian tanah runtuh kira-kira 17 kilometer (km) dari BBP Kapit.
“Hasil pemeriksaan mendapati runtuhan tanah masih berlaku akibat hujan berterusan. Selain itu, sebatang pokok turut tumbang akibat pergerakan tanah runtuh, menyebabkan laluan utama penduduk terhalang.
“Daun pelepah pokok yang tumbang juga tersangkut pada kabel elektrik milik Syarikat SESCO Berhad (SESCO), menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk sekitar,” kata kenyataan itu.
Pasukan bomba dengan bantuan penduduk setempat, pihak polis dan pegawai SESCO telah menjalankan kerja pemotongan pokok menggunakan mesin gergaji berantai sebelum mengalihkan pokok tersebut ke bahu jalan.
Susulan itu, kerja-kerja pembersihan berjaya diselesaikan sekali gus membolehkan laluan dapat diakses semula oleh penduduk.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menjalankan operasi pemantauan di sekitar lokasi kejadian kerana pergerakan tanah runtuh masih dikesan.
Dalam pada itu, penduduk juga dinasihatkan agar berhati-hati dan mengelakkan kawasan runtuhan sehingga keadaan benar-benar stabil.
Oleh Akun Giman