
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengiktiraf peranan penting Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam memastikan keselamatan rakyat, terutama ketika berdepan kecemasan dan bencana alam.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata tugas JBPM bukan sekadar operasi pemadaman kebakaran, tetapi turut merangkumi usaha menyelamat serta pengurusan bencana, termasuk pemindahan mangsa banjir dan penghantaran bantuan ke kawasan terjejas.

“Kita melihat sendiri bagaimana anggota bomba memainkan peranan penting dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan daerah.
“Mereka bukan sahaja bertindak sebagai timbalan komander operasi semasa bencana, malah memastikan mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan selamat serta menyelaraskan penghantaran bekalan makanan ke kawasan terjejas,” katanya ketika berucap pada sesi Ziarah Sumbangsih Raya 2025 di Ibu Pejabat JBPM Sarawak, Tabuan Jaya hari ini.
Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan anggota bomba yang sentiasa bersiap siaga tanpa mengira waktu, terutama ketika musim perayaan.
Beliau menambah ketika kebanyakan orang dapat menyambut Hari Raya bersama keluarga, anggota JBPM perlu bersedia bertugas pada bila-bila masa demi keselamatan rakyat, satu pengorbanan besar yang amat dihargai.
Sebagai tanda penghormatan atas dedikasi pegawai, program Ziarah Sumbangsih Raya 2025 menyaksikan penyerahan 1,550 bungkusan makanan kepada JBPM, dengan inisiatif tersebut turut melibatkan 11 agensi keselamatan lain yang bertugas sepanjang musim perayaan.
Fatimah berharap program ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi juga mencerminkan penghargaan kerajaan dan rakyat terhadap pasukan keselamatan yang sentiasa berkorban demi kesejahteraan negara.
Oleh Amanda L.