SIBU: Mahkamah Majistret di sini hari ini telah menjatuhi hukuman penjara dua tahun berserta tiga sebatan ke atas seorang penganggur setelah mengaku bersalah atas dua pertuduhan pecah rumah.
Rafie Stanley, 38, dari Sungai Rassau dituduh memecah masuk sebuah rumah di Jalan Kapor pada 3 Mac 2025, lebih kurang 4.00 pagi serta mencuri wang tunai RM200, dan empat unit telefon bimbit.
Untuk satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memecah masuk sebuah rumah di Jalan Wawasan pada 28 Februari 2025, lebih kurang 8.00 malam serta mencuri wang tunai sebanyak RM1,500.
Bagi kedua-dua pertuduhan ini, Rafie didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, dan juga denda.
Mengikut fakta kes, pada 28 Februari 2025, lebih kurang 9.45 malam, pengadu mendapati ruang tamu dan bilik tidur rumahnya dalam keadaan berselerak, selain tingkap hadapan rumah terbuka.
Pengadu kemudian mendapati wang tunai RM1,500, dan dua unit kereta mainan miliknya hilang, dipercayai telah dicuri dengan kerugian dianggarkan RM2,100.
Dalam satu lagi fakta kes, pada 3 Mac 2025, lebih kurang 4.00 pagi, pengadu terjaga daripada tidur, dan terlihat seorang lelaki cuba melarikan komputer riba dari kediamannya di Jalan Kapor.
Lelaki terbabit kemudian melarikan diri melalui pintu utama rumah.
Pengadu mendapati empat unit telefon bimbit, dan wang tunai RM200 hilang, dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM600.
Pada 6 Mac 2025, lebih kurang 12.00 tengah hari, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki iaitu tertuduh di Jalan Wong King Huo bagi membantu siasatan.
Siasatan yang dijalankan juga mendapati cap jari tertuduh berjaya dikesan di kedua-dua kediaman terbabit.
Oleh Akun Giman