
KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pernah menetapkan tiga definisi bagi ibu tunggal .
Yang pertama ialah ibu yang telah diceraikan secara hidup atau mati dan masih menanggung anak.
Yang kedua adalah isteri yang menjadi ketua keluarga mencari nafkah, serta menanggung suami yang tidak berupaya untuk bekerja disebabkan sakit dan mempunyai anak masih dalam tanggungan.
Definisi ketiga ialah wanita yang mengangkat anak.
Namun terdapat definisi atau kategori yang belum diiktiraf secara rasmi oleh kementerian, tetapi mempunyai implikasi sosial dan ekonomi dalam masyarakat.
Definisi tersebut ialah ibu tinggal, iaitu ibu yang ditinggalkan oleh si suami kerana faktor suami terpaksa merantau di luar kawasan dan jarang balik menjenguk si isteri.
Terdapat juga situasi si isteri ditinggalkan bagaikan ‘digantung tanpa bertali’ menyebabkan kesukaran sosial dan ekonomi si isteri dan anak mereka.
Hal ini sering berlaku di luar bandar, pinggir bandar malah di bandar juga.
Sekiranya melakukan kerja lapangan di Sarawak, kes-kes sebegini sering ditemui terutama apabila suami bekerja berjauhan di kawasan pembalakan, ladang kelapa sawit, bekerja di bandar utama seperti di kota di Johor atau Kuala Lumpur, mah pun bekerja di luar daerah lain.
Fenomena sosial ini belum diiktiraf secara rasmi oleh kementerian. Namun, situasi ini mempunyai implikasi sosial dan ekonomi yang mendalam dalam masyarakat, terutamanya di Sarawak.
Perspektif antropologi
Fenomena ini dapat dilihat daripada perpektif struktur keluarga, peranan gender, dan perubahan sosioekonomi dalam masyarakat.
Daripada perspektif antropologi, ia menandakan perubahan struktur keluarga dan peranan gender.
Di sinilah tercetus konsep keluarga matrifocal, iaitu ibu tinggal, menjadi pusat dan penjaga utama keluarga yang mengubah dinamika tradisional keluarga patriarki.
Dalam konteks ini, ibu memainkan peranan dominan dalam menguruskan rumah tangga, menjaga anak-anak, dan membuat keputusan penting, manakala kehadiran atau peranan bapa mungkin kurang menonjol atau tidak hadir sama sekali apabila menjadi ibu tinggal.
Meskipun peranan si bapa boleh wujud tetapi tidak aktif dalam peranan tradisionalnya sebagai ketua keluarga.
Maka jaringan keluarga berpusat pada si ibu tinggal dalam konteks hubungan kekeluargaan dan sokongan sosial sering berpusat pada ibu dan keluarga sebelah ibu, seperti datuk, nenek, atau adik-beradik ibu.
Dalam konteks anak-anak dalam anak-anak dalam keluarga matrifokal biasanya mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu dan sering melihat ibu sebagai sumber utama kasih sayang, sokongan, dan bimbingan.
Perbezaan matrifokal dan matriarki
Matrifokal berbeza dengan matriaki kerana matrifocal ialah memfokuskan pada peranan ibu dalam keluarga, tetapi tidak semestinya melibatkan kuasa atau dominasi wanita dalam masyarakat secara keseluruhan.
Matriarki pula ialah sistem sosial yang meletakkan kedudukan wanita memegang kuasa dan autoriti utama dalam masyarakat, bukan hanya dalam keluarga.
Peranan gender kabur
Ibu tinggal terpaksa mengambil peranan ganda sebagai ibu dan bapa, yang boleh mencetuskan tekanan emosi dan fizikal.
Anak-anak juga pula terpaksa mengambil peranan dewasa lebih awal, seperti membantu dalam kerja rumah atau mencari pendapatan tambahan.
Di sinilah berlakunya stigma sosial dan masyarakat kerana ‘ditinggalkan’ atau ‘tidak mampu mengekalkan keluarga’ meskipun bukan kemahuan si ibu.
Maka ini menyebabkan pengasingan sosial dan berasa kurang selamat, terancam, rasa malu, terutamanya dalam komuniti kecil di kawasan luar bandar.
Kekurangan sokongan sosial
Dalam masyarakat yang mengutamakan kekeluargaan, ketiadaan suami boleh menyebabkan ibu tinggal kehilangan sokongan sosial dan jaringan keselamatan yang biasanya disediakan oleh keluarga besar.
Perkara ini memberi kesan kepada anak-anak mereka.
Anak-anak akan mengalami kekurangan figura si ayah.
Anak-anak yang membesar tanpa kehadiran bapa berpotensi menghadapi cabaran emosi dan psikologi, berasa terabai atau kurang keyakinan diri.
Si ibu tinggal lazim berdepan dengan tekanan emosi dan kewangan dan ini menjejaskan pencapaian pendidikan anak-anak, terutamanya jika mereka terpaksa bekerja untuk menyara keluarga, fokus pendidikan terjejas, keletihan bekerja sambilan dan sebagainya.
Si ibu sering menghadapi beban kewangan yang berat, terutamanya jika suami tidak menghantar wang secara konsisten.
Mereka mungkin terpaksa bekerja dalam pekerjaan berpendapatan rendah atau tidak formal untuk menyara keluarga.
Ketaksamaan ekonomi
Fenomena ini boleh memperdalam ketidaksamaan ekonomi, terutamanya di kawasan luar bandar di mana peluang pekerjaan adalah terhad.
Di sinilah juga kesan terhadap identiti dan maruah terutamanya jika mereka berasa diabaikan atau tidak dihargai oleh suami dan masyarakat.
Hal ini berlaku dalam budaya yang mengutamakan perkahwinan dan keluarga, status sebagai ibu tinggal boleh menjejaskan harga diri dan keyakinan.
Sekiranya situasi itu berlaku dalam komuniti yang kuat, maka si ibu tinggal masih mendapat sokongan daripada keluarga besar atau jiran tetangga.
Namun, dalam komuniti yang lebih individualistik kehidupan mereka akan lebih terasing.
Sebenarnya ini adalah bahagian daripada fenomena migrasi dan perubahan sosial.
Fenomena merantau untuk bekerja adalah sebahagian daripada perubahan sosioekonomi yang lebih besar, seperti urbanisasi dan globalisasi.
Situasi ini mengubah dinamika komuniti tradisional dan mewujudkan cabaran baru untuk mengekalkan hubungan sosial.
Fenomena sosial
Memang merantau sebahagian daripada budaya atau dikenali sebagai bejalai, yang kadangkala si wanita tinggal di kampung untuk menjaga keluarga.
Dalam konteks moden, merantau ke bandar atau luar negara menjadi lebih biasa, tetapi jarak dan kos perjalanan menyebabkan suami jarang pulang dan perkara ini mengubah dinamika tradisional dan mewujudkan fenomena ibu tinggal.
Maka, fenomena ini juga menyebabkan ibu tinggal memaksa wanita untuk mengambil peranan yang lebih besar, termasuk sebagai pencari nafkah utama dan mengambilalih peranan ketua keluarga.
Di sinilah langkah wajar diperlukan untuk menangani isu ini seperti program sokongan sosial dan ekonomi berbentuk menyediakan bantuan kewangan, latihan kemahiran, dan peluang pekerjaan untuk ibu tinggal,meningkatkan kesedaran tentang hak dan sumber yang tersedia untuk ibu tinggal, mengukuhkan jaringan komuniti untuk mendukung golongan ibu tinggal, mengurangkan stigma sosial melalui kempen kesedaran dan pendidikan.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).