KUALA LUMPUR: Penggantungan sementara jualan singkat yang dilanjutkan ke 31 Dis, 2020 oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd adalah bertujuan untuk menyediakan kestabilan dan keyakinan kepada pasaran, kata Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar.
Beliau berkata keputusan itu disokong oleh hakikat bahawa petanda pemulihan masih berada di peringkat awal, dalam situasi ekonomi tempatan dan juga global, dan juga seiring dengan pandangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menyifatkan tempoh pandemik COVID-19 sebagai suatu yang sangat tidak pasti.
“Kami juga mengambil kira keadaan pasaran yang masih tidak menentu, kelemahan berterusan dalam persekitaran ekonomi dan peningkatan semula ketegangan geopolitik,” katanya pada sesi maya langsung Invest Malaysia 2020 mengenai tajuk ‘Malaysia’s Capital Market — What Lies Ahead’ menerusi laman Facebook BursaMKTPLC.
Syed Zaid berkata SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan yang memberi kesan kepada pasaran modal, menilai kecukupan langkah-langkah sedia ada untuk menyokong pasaran yang teratur serta mengurangkan sebarang potensi risiko.
Pada 26 Jun, SC dan Bursa Malaysia mengumumkan penggantungan sementara lanjutan jualan singkat dengan menyatakan tidak akan ada sebarang perubahan kepada skop penggantungan kerana ia terpakai kepada Jualan Singkat Harian (IDSS) dan Jualan Singkat Dikawal Selia (RSS) serta jualan singkat harian oleh Peniaga ‘Proprietary Day Traders’.
Jualan Singkat Dibenarkan (PSS) tidak terlibat dalam penggantungan sementara jualan singkat itu kerana PSS adalah suatu yang perlu bagi pemain pasaran untuk memasarkan dengan cekap sekuriti relevan seperti dana dagangan bursa.
Penggantungan sementara itu yang bermula pada 24 Mac, dilanjutkan pada 28 April dan dijadualkan berakhir pada 30 Jun tahun ini.
Mengenai impak COVID-19 ke atas usaha pendigitalan pasaran modal, Syed Zain berkata ia telah menyebabkan syarikat dan perantara SC meningkatkan strategi digital mereka serta menimbang penyelesaian teknologi bagi memastikan pematuhan terhadap obligasi undang-undang dan kawal selia mereka.
“Sejak Mac tahun ini dari segi pendigitalan, kami melihat banyak usaha telah dilakukan, dan kerjasama daripada semula pemegang kepentingan untuk mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan.
“SC akan terus mempermudah penawaran digital dan penyelesaian bagi pasaran modal,” katanya.
Syed Zaid berkata SC akan terus menekankan kepada pembaharuan kawal selia dan mempermudah proses perniagaan dan pelaporan kawal selia termasuk bagi penyerahan, pengiklanan dan pemberitahuan notis oleh SC.
“Pandemik ini menyediakan peluang kepada kami untuk mencerminkan landskap semasa dan menimbang membina semula masa depan yang lebih baik dan generasi seterusnya. Kita perlu mewujudkan dan membangunkan masa depan baharu yang lebih berdaya tahan, mampan dan inklusif,” katanya. – Bernama