SERIAN: Sarawak berjaya mengeksport khinzir hidup serta daging khinzir ke Singapura bernilai RM60 juta setahun dan masih ada potensi untuk ditingkatkan.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi status penyakit ternakan bebas daripada penyakit ternakan yang berkepentingan ekonomi yang membolehkan negeri mengeksport ternakan serta hasilnya keluar negeri tanpa sekatan.
“Antara penyakit ternakan adalah penyakit Kuku dan Mulut (FMD), African Swine Fever (ASF) dan Highly Pathogenic Avian Influenza (HPAI).
“Selain itu, Sarawak telah berjaya mengeksport ayam pedaging serta telur ayam ke Indonesia serta Hong Kong, manakala kita juga telah dapat mengeksport sarang burung walit ke China, Singapura dan Hong Kong,” katanya.
Roland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Input Projek Ternakan di Kampung Chupak, Serian, semalam.
Ujarnya, secara tradisi kawasan Tarat adalah hub pengeluaran makanan seperti hasil ternakan, pertanian dan buaha-buahan yang membekalkan untuk semua bandar raya Kuching dan juga bandar-bandar lain di Sarawak,“Apa yang kita buat sekarang adalah untuk memperhebatkannya lagi supaya ia dapat mengeularkan dengan lebih banyak hasil dan mengikut cara komersial yang baharu kerana seperti mana dasar kerajaan negeri yang dipelopori oleh Ketua Menteri mahu melihat Sarawak menjadi pengeksport makanan menjelang 2030.
“Ia hanya sembilan tahun lagi, masih banyak yang perlu kita usahakan dan rancangan yang kita buat sekarang adalah untuk meningkat serta menambahkan lagi pengeluaran di kawasan ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata selain itu, pihaknya turut membina infrasktruktur seperti kediaman di kawasan-kawasan kampung dan menambah baik di kawasan pedalaman seperti di kebun-kebun.
“Contoh sekarang ini kalau orang hendak mengutip durian, ia memakan masa dua hingga tiga jam untuk sampai ke kebun durian.
“Namun sekarang ini kita hendak melihat jalan-jalan ladang di bina dan mereka dapat membawa hasil ini dengan lebih cepat selain juga dapat membangun tanah-tanah di kawasan yang tidak jauh dari kampung,” jelasnya.
Oleh Zarina Abdullah