




PETRA JAYA: Banyak perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih tergantung dan belum mencapai kata putus.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ini termasuk isu geran khas kepada Sarawak.
“Kita masih perlu memperhalusi banyak perkara, termasuk beberapa isu yang telah dibincangkan tetapi masih memerlukan penyelesaian.
“Sarawak akan terus menuntut haknya dan memastikan segala yang termaktub dalam perjanjian ini dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Jerayawara Bubur Asyura di Dewan Serbaguna Kampung Tunku Kuching, hari ini.
Sharifah Hasidah berkata isu geran khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan masih dalam perbincangan.
Menurutnya, Sarawak telah menetapkan formula tersendiri bagi pengiraan geran khas tersebut, namun keputusan muktamad masih diperlukan.
“Perbincangan mengenai perkara ini masih berterusan kerana banyak isu yang belum diselesaikan sepenuhnya. Ini adalah satu proses yang berterusan, dan kita akan terus memastikan hak Sarawak dipertahankan sepenuhnya,” jelasnya.
Selain itu, katanya, kerajaan Sarawak turut memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan autonomi dalam sektor pendidikan dan kesihatan bagi membolehkan Sarawak menguruskan kepentingan rakyat dengan lebih efektif.
Beliau juga berkata sokongan terhadap perjuangan hak Sarawak perlu bersifat berterusan dan tidak bermusim.
Ini sebagai merujuk kepada kenyataan Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menuntut hak negeri berkaitan sumber gas.
“Yang penting, mereka menyokong usaha yang telah diusahakan oleh Premier kita. Jangan hanya menyokong ketika menjelang pilihan raya atau apabila ada agenda tertentu.
“Jika benar-benar memperjuangkan hak Sarawak, sokonglah secara konsisten. Tidak kira parti mana, jika sesuatu perkara itu baik untuk negeri Sarawak, kita harus menyokong sepenuhnya,” katanya.
Oleh Amanda L.