
PERKEMBANGAN Borneo Airways selepas pembentukan Malaysia menunjukkan prestasi yang baik. Beberapa pembaharuan dan kemajuan dicapai oleh syarikat penerbangan tersebut.
Walaupun terdapat sedikit masalah kemalangan yang berlaku di Sibu yang mana semua penumpangnya selamat tetapi insiden ini tidak mematikan perkhidmatan syarikat penerbangan ini.
Malah perisiwa kemalangan tersebut menjadi satu titik hitam yang memberi semangat kepada syarikat penerbangan itu untuk memberi khidmat kepada penduduk di Sarawak termasuk juga Brunei dan Sabah.
Keuntungan
Keuntungan syarikat penerbangan tersebut pada akhir 1963 menunjukkan satu perkembangan yang sihat.
Dalam penyata tahunannya memaklumkan bahawa syarikat penerbangan tersebut telah meraih keuntungan sebanyak $270,675 untuk 1963, selepas mengambil kira peruntukan bagi susut nilai pesawat Twin Pioneer dan liabiliti cukai pada masa hadapan.
Keuntungan ini adalah lebih tinggi daripada tahun sebelumnya. Syarikat penerbangan tersebut juga telah berjaya mengurangkan kerugian tahunan yang dialami oleh mereka pada tahun-tahun sebelumnya.
Dari segi penumbang, terdapat peningkatan sebanyak 58 peratus penumpang menggunakan perkhidmatan penerbangan ini, manakala kargo barang yang dibawa juga meningkat kepada 508 tan berbanding 385 tan.
Perubahan
Salah satu perubahan berlaku pada syarikat ini selepas pembentukan Malaysia adalah penstrukturan pentadbiran Borneo Airways terutama dalam Lembaga Pengarahnya.
Dalam hal ini D. E. M. Fiennes telah meletak jawatan selaku pengarah bagi lembaga syarikat berkenaan. Beliau telah digantikan oleh Kwan Tong Meng dari Sandakan.
Wakil kerajaan Sarawak iaitu bekas setiausaha kewangan Sarawak, B. A. Hepburn telah diganti oleh Menteri Kerja dan Komunikasi Sarawak, Abdul Taib Mahmud. M. J. C. Auster pula mengantikan Kaptain T. M. Robertson sebagai pengurus bagi syarikat penerbangan tersebut.

Landasan Terbang
Untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawar oleh syarikat tersebut, usaha telah digerakkan oleh pihak kerajaan negeri dan pusat untuk menambah landasan terbang di Sarawak.
Landasan terbang yang sedia ada telah dibaiki dan dinaikkan taraf seperti di Kuching dan Miri. Dalam hal ini, landasan terbang Belaga dibina untuk membolehkan pesawat jenis Twin Pioneer memberi khidmat kepada penduduk di Belaga.
Salah satu cabaran besar bagi Borneo Airways ini adalah terdapatnya usaha mengadakan mogok oleh kesatuan sekerja bagi kakitangan syarikat penerbangan tersebut.
Pihak kesatuan itu telah mengadakan rundingan dengan pihak pengurusan syarikat penerbangan tersebut, tetapi menghadapi kebuntuan dalam perbincangan antara kedua-dua pihak.
Pihak kesatuan syarikat tersebut mengambil keputusan untuk mengadakan mogok pada 13 Mac 1964.
Pihak kesatuan sekerja syarikat penerbangan ini sebenarnya telah menyuarakan tuntutan mereka kepada pihak pengurusan sejak akhir 1963.
Tuntutan mereka ini berkaitan dengan tuntutan keadaan perkhidmatan dalam kalangan pekerja syarikat penerbangan tersebut.
Dalam hal ini kesatuan sekerja tersebut mengesyaki bahawa pengurusan syarikat penerbangan ini melakukan taktik melewat-lewatkan untuk mengadakan perbincangan dengan mereka.
Idea penyatuan
Salah satu lagi peristiwa penting berlaku dalam sejarah syarikat penerbangan ini adalah idea menyatukan Borneo Airways dengan Malaysian Airways.
Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan Dato Sardon Jubir. Beliau telah berbincang selama 30 minit dengan Ketua Menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan dan Menteri Kerja dan Komunikasi Sarawak, Abdul Taib Mahmud semasa di Singapura.
Selepas perbincangan tersebut, Sardon telah mengadakan sidang akhbar di lapangan terbang Singapura yang menyatakan bahawa kemungkinan untuk menyatukan Borneo Airways dengan Malayan Airways.
Menurut beliau penyatuan tersebut akan memberi kelebihan kepada penduduk di negeri Borneo, Singapura dan Tanah Melayu.
Dalam hal ini Sardon juga menyatakan bahawa penerbangan awam ini adalah dibawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.
Atas sebab itu beliau menekankan bahawa hal ini tidak ada masalah kerana ia berlaku dalam wilayah Malaysia.
Tambahan daripada itu, beliau menyatakan bahawa perbincangan tentang penyatuan kedua-dua syarikat penerbangan ini akan diteruskan di peringkat rasmi dan komersial untuk menyelesaikan apa-apa perkara yang berbangkit.
Abdul Taib Mahmud juga mengakui bahawa idea penyatuan kedua-dua syarikat ini pernah dibincangkan.
Katanya, perkara ini masih diperingkat pertimbangan dan belum diputuskan lagi. Dalam hal ini beliau akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat kabinet negeri Sarawak.
Kajian
Idea pergabungan dua syarikat penerbangan ini mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan ketika itu. Pada 1965, Kerajaan Persekutuan meminta Malaysian Airways membuat satu kajian tentang implikasi pergabungan tersebut.
Saranan mengenai kajian ini termasuklah tentang liabiliti dan aset Borneo Airways, dan juga tentang keadaan perkhidmatan dan kakitangan syarikat penerbangan tersebut.
Perkara ini penting dijelaskan kerana terdapat beberapa perkara dari segi terma kedua-dua syarikat penerbangan itu adalah berbeza.
Hal ini jelas merujuk kepada gaji diterima oleh pegawai kanan dagang yang lebih tinggi di Borneo Airways berbanding dengan Malaysian Airways.
Tambang murah
Pengerusi Malaysian Airways, Yong Pung How dalam kenyataannya pada Mac 1965 mengatakan bahawa pergabungan dua syarikat penerbangan ini akan mengurangkan tambang perkhidmatan kapal terbang.
Menurutnya pengurangan ini berpunca daripada berlaku pengurangan kos semasa penyatuan pentadbiran syarikat penernangan tersebut, dan perbelanjaan overhead. Penjimatan itu akan pergi kepada perjalanan penumpang awam.
Jawatan pengurus sektor Borneo akan diwujudkan selepas selesai pergabungan kedua-dua syarikat penerbangan ini. Lim Chin Beng, bekas penolong peribadi Pengurus Umum, Malaysian Airways dilantik untuk menjawat jawatan ini.
Setelah berunding, maka kedua-dua syarikat penerbangan ini disatukan pada 1 April 1965. Penyatuan ini membawa kepada pelantikan ahli-ahli Lembaga Pengarah baharu dari wilayah Borneo.
Setelah 60 tahun peristiwa pergabungan ini berlaku, kerajaan Sarawak mengorak langkah berani untuk memulakan babak baharu dalam dunia penerbangan.
Kemunculan AirBorneo yang diumumkan oleh Premier Sarawak menunjukkan Sarawak maju setapak lagi untuk membawa negeri ini ke hadapan sebagai sebuah wilayah yang mempunyai iltizam tinggi untuk mendepani perubahan dunia.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).