
BINTULU: Tempoh penutupan jalan di hadapan Doremart kini dilanjutkan hingga 30 Mac bagi memberi laluan kepada kerja-kerja utiliti Horizontal Directional Drilling (HDD).
Menurut kenyataan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), pelanjutan tersebut diperlukan sebagai sebahagian daripada pembinaan jejambat Medan Jaya, yang mengalami beberapa kekangan teknikal tidak dijangka.
Bagi mengurangkan kesan terhadap aliran trafik, laluan alternatif telah disediakan bagi memastikan akses ke Doremart, Medan Jaya Commercial Centre dan Meridian tidak terjejas sepenuhnya.
“Kami menasihati semua pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan lebih awal, mematuhi laluan lencongan yang telah ditetapkan dan bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan di kawasan tersebut.
“Kami amat menghargai kesabaran dan kerjasama anda dalam usaha meningkatkan infrastruktur Bintulu,” kata kenyataan itu.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Oleh Carolyne Utih