
BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee menggesa agar pihak masjid, Tabung Haji (TH) dan agensi berkaitan memperkukuhkan jaringan kerjasama dalam pengurusan jenazah.
Menurut beliau, inisiatif kolaboratif tersebut berperanan penting bagi memastikan setiap jenazah diuruskan secara sistematik dan efisien, sekali gus meringankan beban keluarga yang sedang berduka.
Beliau menjelaskan, apabila jenazah di satu daerah tetapi warisnya berada di daerah lain, sinergi antara institusi amatlah diperlukan.
“Sebagai contoh, kerjasama antara masjid di Sibu dan Bintulu dapat memastikan urusan pengurusan jenazah dari peringkat awal hingga penghantaran akhir kepada wakil waris dapat dilakukan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Mobiliti TH 2024 Peringkat Negeri Sarawak di Masjid Darussalam, Kampung Baru di sini hari ini.
Selain itu, Iskandar turut menyeru agar pihak masjid menjalinkan kerjasama dengan institusi seperti TH, yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan haji dan perkhidmatan kemasyarakatan.
“Di samping perkhidmatan haji, Tabung Haji juga memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan menabung sebagai persediaan untuk keperluan mendesak seperti pengurusan jenazah,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih