
KUCHING: AirBorneo, syarikat penerbangan baharu milik penuh Kerajaan Sarawak melancarkan pertandingan mencipta logo dan mereka bentuk corak badan pesawat (livery) bagi memperkenalkan identiti jenama mereka.
Inisiatif itu disambut baik oleh rakyat Sarawak yang melihatnya sebagai peluang bagi menampilkan kreativiti serta mempromosikan warisan dan keunikan negeri.
Sehubungan itu, rakyat Sarawak khususnya turut berkongsi pandangan mereka mengenai pertandingan berkenaan menerusi satu tinjauan di sekitar Bandar Raya Kuching hari ini.
Seorang pekerja swasta, Mohd Nur Akmal menyifatkan inisiatif ini merupakan langkah yang wajar untuk mempromosikan AirBorneo sebagai syarikat penerbangan kebanggaan Sarawak.
“Jika pertandingan ini dilaksanakan, Sarawak akan menjadi negeri pertama yang menganjurkan pertandingan seumpama ini, selaras dengan statusnya sebagai negeri yang memiliki syarikat penerbangan sendiri.
“Oleh itu, pertandingan mencipta logo ini perlu dipromosikan secara meluas kepada rakyat Sarawak. Walaupun penyertaan dibuka kepada orang luar, ia tetap menjadi platform penting untuk memperkenalkan AirBorneo kepada umum. Secara keseluruhannya, ini adalah inisiatif yang sangat baik daripada kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Yazid Daud berkata, dari sudut impak kepada industri kreatif tempatan, pertandingan ini berpotensi menarik perhatian pelancong asing kerana rekaan yang dihasilkan pastinya unik dan berbeza.
“Ini bukan sahaja memperkenalkan keunikan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa tetapi juga meningkatkan daya tarikan industri kreatif tempatan kepada dunia luar,” katanya.
Bagi Nur Aalia Annieshawani, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpendapat bahwa pertandingan tersebut membuka peluang kepada bukan sahaja pereka tempatan, malah kepada orang awam dan pelajar yang ingin mengetengahkan bakat.
“Ia langkah yang baik untuk mendekatkan syarikat dengan rakyat, sekaligus memberi peluang kepada bakat tempatan untuk bersinar di pentas antarabangsa.
“Pertandingan ini berpotensi memperkenalkan bakat-bakat baru kepada khalayak yang lebih luas. Walaupun seseorang pereka mungkin tidak memenangi pertandingan ini, karya mereka tetap mendapat perhatian dan boleh membuka peluang untuk projek reka bentuk lain di masa hadapan.
“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, tetapi juga menyumbang kepada perkembangan industri kreatif di Sarawak,” ujarnya.
Pertandingan berkenaan terbuka kepada individu dan kumpulan dari pelbagai latar belakang, dengan syarat penyertaan menampilkan elemen budaya, warisan, biodiversiti, nilai mesra alam, serta semangat dinamik yang melambangkan AirBorneo.
Tarikh akhir penghantaran penyertaan adalah pada 17 Mac ini.
Dengan pelancaran pertandingan ini, rakyat Sarawak berpeluang menjadi sebahagian daripada sejarah penerbangan negeri, menyumbang kepada identiti visual AirBorneo yang bakal menjadi kebanggaan bersama.- UKAS