
SIBU: Pembinaan 10 jambatan bernilai RM11 bilion di Sarawak bukan hasil pinjaman luar, sebaliknya dibiayai melalui strategi kewangan mampan yang dirancang kerajaan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menegaskan kejayaan itu membuktikan kebolehan kerajaan Sarawak mengurus sumber kewangan sendiri tanpa bergantung kepada pihak luar.
“Ada pihak yang mendakwa projek ini melibatkan hutang, tetapi hakikatnya kita telah menguruskan kewangan Sarawak dengan bijak dan efektif. Kita tidak memerlukan pinjaman luar untuk melaksanakan projek pembangunan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong dan Sibu Jaya, di sini, malam tadi.
Menurut Dr Sim, kerajaan Sarawak mengamalkan pendekatan pembiayaan alternatif sejak 2019, yang membolehkan Sarawak membiayai sendiri projek infrastruktur berskala besar tanpa perlu menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Jika dahulu kita hanya mampu merancang kerana kekurangan dana, kini kita boleh melaksanakannya sendiri.
“Sarawak kini memasuki era pembangunan dengan dana mencukupi, yang membolehkan kita melabur dalam projek infrastruktur utama untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Sebagai contoh, katanya, pembukaan rasmi Jambatan Muara Lassa yang merentasi sungai sepanjang 2.43 kilometer dan dihubungkan dengan jalan sepanjang 5.7 kilometer adalah bukti kejayaan Sarawak dalam membangunkan infrastruktur tanpa bebanan hutang.
“Dahulu kita hanya melihat negeri lain membangun, tetapi kini kita sendiri yang melaksanakannya. Inilah hasil kestabilan politik dan perpaduan rakyat Sarawak,” katanya.
Dr Sim turut menegaskan kestabilan politik di Sarawak menjadi faktor utama kejayaan ini, hasil hubungan erat antara Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan SUPP yang terjalin sejak 1970-an.
“Kerjasama erat antara parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membantu kita mengatasi pelbagai cabaran, termasuk krisis politik pada 1987 dan 2014.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa kita tidak membiarkan perpecahan melemahkan negeri ini,” katanya.
Beliau juga optimis bahawa Sarawak kini berada di landasan tepat untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030, dengan sumber pendapatan yang semakin meningkat serta pengurusan kewangan yang cekap.
“Kita telah menghasilkan banyak sumber yang menjana pendapatan sendiri. Dalam tempoh lima tahun lagi, Sarawak akan menjadi lebih maju dan lebih sejahtera,” katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat Sarawak untuk terus bersatu dan menyokong kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam usaha membawa negeri itu ke tahap lebih tinggi.
Majlis itu turut meraikan ulang tahun ke-82 Penasihat SUPP Cawangan Dudong, Datuk Dr Soon Choon Teck, serta Sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee; Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting; serta barisan kepimpinan SUPP dari pelbagai peringkat.
Oleh Tarani Lanting