
DALAM diam, dia menyimpan luka. Dalam duka, dia menanggung derita. Sekam Di Dada mengajak penonton menyelami jiwa Orkid, seorang wanita yang terperangkap dalam perkahwinan tanpa cinta dan terkurung dalam bara amarah yang membakar perlahan-lahan.
Tidak semua cinta itu indah, dan tidak semua mahligai membawa kebahagiaan. Ketika kesengsaraan menggantikan kasih sayang, ketika marah dan rintihan menjadi bahasa cinta, apa lagi yang tinggal buat dirinya?
Bersedialah untuk merasai derita yang menikam kalbu. Sekam Di Dada bakal menggegarkan slot Samarinda TV3, bermula esok, setiap Isnin hingga Jumaat, 10.00 malam.

Diterbitkan oleh Saphire Screen Sdn Bhd dan diarahkan oleh Zamri Zakaria, naskhah ini hadir dari pena emas Wan Mahani Wan Hassan, pemenang Anugerah Penulis Skrip Terbaik di sebalik karya unggul Ayahanda dan Andainya Takdir.
Sekam Di Dada mengupas hidup Orkid (Amyra Rosli), seorang guru mengaji yang tiba-tiba menuntut cerai setelah suaminya, Nasir (Dato’ Adi Putra), jatuh sakit dan kehilangan keupayaan berjalan akibat jangkitan kuman pada saraf tunjang.
Namun, keputusan Orkid mencetuskan kemarahan bukan hanya buat Nasir, tetapi juga anak-anak mereka, Nazman (Apich Lo) dan Sara (Auni Yusri), yang bergelut dengan perasaan tidak percaya.
Ketegangan memuncak apabila Nazman berasa dikhianati oleh ibunya sendiri, menyifatkan ibunya sebagai kejam, curang dan bermacam-macam lagi, hanya kerana dia mempercayai kata-kata ayahnya.
Sementara itu, isterinya, Noreen (Qistina Khaled) dan Sara memilih untuk tidak terburu-buru menghukum. Mereka percaya, seorang ibu tidak akan bertindak tanpa sebab, dan Orkid berhak diberi ruang untuk menjelaskan dirinya.
Namun, segalanya bertambah perit apabila impian Orkid untuk menyambung pelajaran sampai ke pengetahuan Nazman.

Dia malah mentertawakan ibunya, memperlekeh cita-citanya, dan menegaskan bahawa satu-satunya impian yang layak dimiliki Orkid ialah memenuhi tanggungjawab terhadap suaminya. Luka di dalam hati Orkid semakin parah, membuatkannya memilih untuk menghilangkan diri.
Hari silih berganti, Nazman, Noreen, dan Sara terpaksa bergilir menjaga ayah mereka yang semakin sukar dikawal, sering mengamuk, cerewet dan mendesak kepulangan Orkid.
Orkid akhirnya kembali setelah dipaksa, namun niatnya dipersoal. Dia sebaliknya merayu kepada Nasir untuk berpisah secara baik sebelum segalanya terbongkar, tetapi Nasir tetap berkeras.
Keadaan semakin kacau apabila Arif (Josiah Hogan), kekasih lama Orkid, muncul dengan agenda tersembunyi, ditambah pula dengan Rozi (Puteri Sarah Liyana), isterinya, yang tidak mahu kalah.
Dalam sangkar penuh duri, dicerca oleh darah daging sendiri, sekuat manakah Orkid mampu bertahan?
“Penonton pasti akan meluat dengan watak Nasir.” Itulah janji Dato’ Adi Putra tentang wataknya kali ini.
“Dia bukan sekadar ego, dia narsistik, bongkak dan baran. Kesakitan yang dialaminya bukan buat dia insaf, sebaliknya, makin menjadi-jadi dengan dramanya sendiri.
“Bagi Nasir, hanya dia yang betul. Semua orang di sekelilingnya dianggap musuh. Dia tak peduli siapa pun, hanya mahu dunia ikut kehendaknya.
“Saya yakin penonton akan merasakan betapa kejamnya dia. Tapi, mereka juga perlu faham bahawa setiap perbuatan ada sebabnya, dan setiap yang mendatang ada hikmahnya.”
Menampilkan barisan bintang tanah air seperti Dato’ Adi Putra, Amyra Rosli, Josiah Hogan, Puteri Sarah Liyana, Auni Yusri, Apich Lo, Qistina Khaled, Nadia Brian, dan Arash Mohamad, drama ini menjanjikan kisah penuh air mata, dendam, dan permainan narsistik yang mengikat jalan cerita.
Namun, satu persoalan masih menghantui, apa yang membuatkan Nasir begitu sukar melepaskan Orkid?
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Sekam Di Dada minggu hadapan, eksklusif di slot Samarinda TV3. Bersedialah untuk dihanyutkan dalam gelombang emosi, kerana anda pasti tidak menjangkakannya.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat. – TV3