
England: Arne Slot mendedahkan luahan kemarahannya ketika rehat mencetus kebangkitan Liverpool sebelum menang 3-1 ke atas Southampton ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menjarakkan diri 16 mata di depan awal pagi tadi.
Slot menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton di Anfield ketika beliau menjalani penggantungan perlawanan terakhir kerana memaki hamun pegawai susulan keputusan seri Liverpool di Everton.
Bos The Reds itu masih mampu menyertai pemainnya di bilik persalinan ketika rehat dan mengambil peluang itu untuk memarahi pemainnya berikutan persembahan hambar babak pertama menentang pasukan tangga tercorot Southampton.
Salah faham antara kapten Liverpool, Virgil van Dijk dan penjaga gol Alisson Becker membolehkan Will Smallbone memberikan The Saints pendahuluan mengejutkan beberapa saat sebelum rehat.
Bagaimanapun, Slot pantas mengenal pasti kelemahan mereka dan menuntut peningkatan sebelum melakukan tiga penggantian dengan Harvey Elliott, Andy Robertson dan Alexis Mac Allister masuk sekali gus pantas mengubah dinamik.
Dalam tempoh lima minit, Darwin Nunez dan Mohamed Salah menjaringkan gol untuk memulihkan keadaan ketika Liverpool mengelak kekalahan mengaibkan.
Salah, yang merembat masuk penalti keduanya pada minit ke-88, berkata ketika temu ramah selepas perlawanan Slot “memarahi kami.”
“Saya tidak memberi mereka pujian ketika rehat, itulah yang boleh saya beritahu anda,” kata Slot apabila beliau mengesahkan pandangan Salah mengenai taklimat separuh masa pertama.
“Mungkin saya boleh beritahu anda kerana saya duduk di sana bukannya di tepi padang. Apabila anda melihat perlawanan dari sana, anda sering berasa ‘Ah, malah saya sendiri boleh bermain dalam perlawanan ini’ tetapi bila mana anda berada di tepi padang, ada tempo yang lebih.
“Saya fikir tidak salah saya katakan ketika rehat tahap tenaga mereka terlalu lemah.
“Ia perlu diubah dan itulah sebabnya kami melakukan tiga pertukaran, selain daripada tenaga untuk mencetus kualiti.
“Itulah satu-satunya perkara yang saya luahkan ketika rehat untuk mencetus sesuatu yang berbeza pada babak kedua.” – AFP