CHERYL LAW
KUCHING: Bulan Ramadan tahun ini disambut bersama keluarga di rumah pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan memasak sendiri di rumah.
Seorang Pegawai Bomba, Muhamad Hamadi Halmi, 42, berkata, saya berasa sedikit kecewa tetapi tidak mengurangkan rasa menyambut bulan Ramadan tahun ini bersama keluarga di rumah sahaja di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Jika Bazar Ramadan dan Bazar Gawai tidak akan diadakan, Hamadi berkata, memang banyak kebaikan kerana ia akan mengurangkan kesesakan orang ramai berkunjung di satu tempat yang akan menjadi penyebaran wabak Covid-19
“Tujuannya, supaya dapat mengurangkan kadar virus Covid-19 daripada merebak kerana orang ramai akan bersesak dalam satu tempat di bazar itu. Ini adalah tindakan yang terbaik kerana usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian virus Covid-19 mungkin berjaya dengan kerjasama orang awam,” katanya.
Hamadi memberitahu, saya akan memasak di rumah seperti biasa dan membeli barangan makanan secara delivery sekiranya tiada kesempatan.
Ketika ditanya perasaannya, katanya, mungkin akan rasa kurang seronok kerana Bazar Ramadan adalah satu tradisi dari tahun-tahun sebelumnya tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 ini.
“Harapan saya semoga semua rakyat Malaysia bertahan untuk mengikut arahan PKP untuk kebaikan masa akan datang supaya kita sihat untuk meraikan semua jenis perayaan pada tahun hadapan. Aamiin,” tambah Hamadi.
Sementara itu, seorang pegawai bomba, Paulina Ramyen, 41, berkata, pada pendapat saya Bazar Ramadan dan Bazar Gawai tidak sesuai diadakan seperti biasa memandangkan PKP dilanjutkan sehingga 14 April iaitu 10 hari sebelum awal Ramadan selain mengambil kira suasana tidak menentu ketika ini.
“Ini adalah kerana kewujudan Bazar Ramadan dan Bazar Gawai boleh menyebabkan risiko berlakunya kontak rapat seterusnya, memberi kesan kepada kebarangkali untuk berlaku penularan semula virus Covid-19 dan merencatkan usaha kerajaan untuk membasmi wabak ini sepenuhnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Paulina berkata, kerajaan mengambil kira kesihatan serta nyawa semua pihak sebagai usaha mengekang penularan Covid-19. Ini kerana, keselamatan dan kesihatan orang awam lebih utama.
“Selain daripada itu, kita masih ada pilihan lain iaitu masak sendiri juadah di rumah bersama keluarga tersayang dan berbuka puasa di rumah kerana yang penting kita selamat.
“Peniaga boleh mengusahakan pemasaran perniagaan secara atas talian (online) perkhidmatan penghantaran ke rumah untuk sebarang bentuk produk termasuk makanan atau menggunakan platform seperti grab food, food panda atau menggunakan konsep ‘cash on delivery’ (COD),” kata Paulina.
Tambahnya, perasaan sedih sememang akan dirasai orang ramai kerana Bazar Ramadan dan Bazar Gawai adalah salah satu tempat kunjungan yang dinantikan setiap datangnya bulan puasa. Pada setiap tahun, Bazar Ramadan juga sangat ditunggu-tunggu oleh umat muslim yang berpuasa begitu juga bagi kami yang bukan muslim kerana kemeriahan bazar Ramadan tidak sama dengan pasar malam yang buka pada setiap minggu.